Sunday, April 17, 2011

Ujibakat Bakat TV

Assalamualaikum wbt,

Sebenarnya aku tak pasti apa yang aku lakukan siang tadi. Adakah sebab orang suruh atau memang aku yang nak buat. Ujibakat adalah perkara yang paling aku tak gemar. Kalau Fairuz yela, memang hobilah!. Jadi aku yang agak keberatan ni pun melangkah lagi ke Auditorium P.Ramlee, Wisma Radio Angkasapuri untuk ujibakat Bakat TV.


Bakat TV telah bermula sejak tahun 1070, Selama 15 tahun sejak diterbitkan, rancangan ini telah melahirkan artis-artis berbakat dalam bidang nyanyian, muzik dan juga komedi. Tahun 2011 Bakat TV kembali lagi, tetapi kali ini memberi nafas baru dengan suntikan interaktif di kalangan penonton di rumah dan juga studio. Objektif Bakat TV adalah untuk mencari bakat-bakat baru yang pelbagai dan berkualiti sebagai pelapis generasi artis-artis tanah air yang sedia ada.RTM menerbitkan rancangan mencungkil bakat baru dengan menampilkan kategori baru sebagai salah satu cara untuk mempromosikan nilai-nilai budaya 1Malaysia dalam bidang seni di samping memupuk semangat muhibbah. (Katanya).

Bukan main bersemangat lagi nyanyi lagu Hujan Di Tengahari nyanyian
Allahyarham Tan Sri P.Ramlee di Auditorium P.Ramlee. Eeh macam ada luck je?

Mula-mula tu gemuruh la juga, ye lah aku ni tak suka sangat masuk pertandingan nyanyi-nyanyi ni sebab aku tahu suara aku tak sedap sangat pun walaupun range aku besar, adoi, tapi aku buat selamba je. Punyalah kami bersedia tiga lagu, sekali hanya perlu nyanyi satu lagu dan dua minit sahaja. Masing-masing pun fikirlah lagu mana satu yang sesuai. Akhirnya kami memilih untuk menyanyikan lagu Hujan Di Tengahari. Kononnya lagu tu ada perlahan ada laju dan ada accapella dan minus one dan ada harmoni dan ada menari. Kuatlah kononnya. Awal-awal tu feeling professional la, tak nak ambil key, hafal konon. Naik pentas, perkenalkan diri, ambil first note selamba rakon, masuk minus one, aduh lari key. Padan muka. Yang penting perform.

Yang best lagi, ada pula budak-budak ASWARA yang lain. Kumpulan Gambuse katanya. Sempat juga tengok, boleh tahan juga budak-budak ni. Hebat. Mesti dapatlah. Lagi sorang Keycha, main marimba. Yang menjadikan kami pelik, dia masuk dua kali. Maksudnya dia diberi peluang kedua. Habis je giliran kami, kami pun bergambarlah dengan jurufoto. Katanya sebab kami tak bawa gambar kumpulan. Manalah kami tau, ujibakat ini pun tau dari mulut ke mulut.


Dah lepas azablah konon, feeling artis kejap ada fotoshoot. Dengan selekehnya namun tetap rakon ok. Walaupun ke laut tadi dengan Abby salah lirik lah apa lah. Tak apa lah, ada rezeki adalah, tak ada tak apa.

Jadi habis semua lepas fotoshoot apa semua, kami pun nak baliklah, tiba-tiba dalam perjalanan turun ke pondok polis kat depan, aku yang naik kereta dengan Fairuz ni terserempaklah dengan Abby dan Ajude, katanya rasa macam nak buat balik ujibakat tu. Lagipun kaunter tutup jam 5, sekarang baru jam 4, sempat kata Abby. Ajude call Abang Ijan, dia marah sebab kita bawa lagu Hujan Di Tengahari sebab lagu Ku Pinta Lagi lebih yakin dengan harmoni. Jadi, kami pun patah balik ke Auditorium P.Ramlee dan bertanya kat Kak Tisshot (nama email dia) boleh tak kami nak ujibakat balik. Katanya ok. Fuh. Apa lagi, cepat-cepatlah praktis.

Sementara tunggu nak diujibakat semula, ada seorang bardo ni datang ujibakat juga. Ingatkan main muzik ke apa ke, ye lah siap pakai vest dan seluar jeans. Rupa-Rupanya menari solo, Dikir Bertingkah pula tu. Kemudian orang RTM tanya, koreografi ni sama je macam Pak Ngah punya penari, copy ke? Aduh pedih ulu hati mendengarnya. Budak ni dari UiTM katanya. Tak apalah ada juga usaha budak ni nak memajukan dirinya dengan datang ujibakat ini. Nasib baik dia tak tahu yang tiga orang kat bawah ni, termasuk Nanie yang menonton persembahan dia tadi tu ada Diploma dan Ijazah dalam bidang tari. Kalau tak mesti dia berubah jadi pohon semalu rimba.


Ada ciri-ciri artis tak? Tau nama kumpulan kami apa...
MUZSTAR-E

Akhirnya tiba giliran kami untuk kali ke-2. Yang bestnya ada seorang crew ni tanya aku, "Eh macam kenal je, awak ni koreografer Pilih Kasih kan?" Huhuhu, tersipu-sipu aku feeling popular kejap. Tinggi sikit dah hidung aku. Yang penting kali ke-2 ni aku bawa iPod Fairuz, buka applikasi piano, tenak not. Habis cerita. Semuanya lancar. Kami pun pulang dengan tenang.

Tau tak dari mana datangnya idea nama kumpulan kami? Muzstar-E adalah gabungan perkataan Muzik dan Tari, disebut muztari, tapi ejaan sebegitu kononnya komersil dan ada perkataan star, bintanglah kononnya. Secara metanaratifnya pula, bunyinya mirip bunyi musytari iaitu planet terbesar di dalam sistem suria yang membawa maksud kami bukan sahaja berbadan besar, malah berbakat besar. Hahahah, Hana tak?

P/S Kalau dapat masuk, jangan lupa undi tau.


Thursday, April 14, 2011

Gelombang Baru

Assalamualaikum wbt,


Bukan mudah untuk aku datang menonton persembahan kesemua hari, tapi ini tidak bermakna aku suka menonton persembahan tersebut, boleh jadi aku sekadar ingin menajamkan lagi mata dan akal aku. Bagi persembahan Gelombang Baru, aku datang tiap malam kerana ingin memberikan sokongan kepada kawan-kawan serta ingin mengasah minda aku.

Dengan menampilkan 10 karya, Gelombang Baru kali ini boleh dikatakan "short 'n' sweet". (Manis ke?) Jika nak dibandingkan dengan Stepping Out (nama lama Gelombang Baru yang juga pernah dinamakan dengan Step Up) yang pernah diadakan pada 6 hingga 8 Disember 2006, sebanyak 16 karya dipentaskan yang dikoreograf oleh para pelajar dan graduan. ini termasuklah sebuah karya site specific.

Buku program Stepping Out oleh Jabatan Tari ASWARA
yang diadakan pada 6-8 Disember 2006

Homemaker karya Gloria Patie, sangat ringkas. Menceritakan tentang rutin suri rumah. Karya male gaze ini berakhir sedikit suntikan feminisma. Tatabahasa gerak karya ini sangat menampakkan identiti koreografernya. Walaubagaimanapun kesempurnaan karya ini terletak kepada penari-penarinya yang tidak dapat disangkal kehebatan teknikalnya. Namun ingin ditegaskan, kehebatan seseorang penari tidak hanya dinilai dari segi teknikal. Walaubagaimanapun keberkesanan koreografi ini hanya dapat dibaca dengan komposisi literalnya.

Homemaker
Gloria Patie

Christine Chew hadir dengan Happened, Happening, Happen dengan menampilkan tujuh penari wanita dengan kesan silhouette menampakkan susuk tubuh seksi wanita. Visual sebegini mengingatkan saya pada Sapta Purnama, tambahan pula Fatin Nabylah menari di dalam karya ini. Tatabahasa gerak serta komposisi karya ini sangat segar untuk ditonton. Kadangkala terlihat imej Joget Gamelan, kekadang juga ternampak elemen tari Cina, terkadang gaya Bali dan Jawa terlihat. Saya hanya terhibur dengan bentuk dan gaya persembahan, namun masih tidak dapat mengaitkannya dengan sinopsis karya ini.

Happened, Happening, Happen
Christine Chew

Menyusul Genuine karya Naim Syahrazad. Seperti biasa, Naim gemar membuat karya tentang hubungan dan perhubungan cuma kali ini tentang hubungan persahabatan antara dua lelaki. Duet antara Yunus Ismail dan Azizi Mansor ini menarik ditonton namun sekali lagi imej ini sangat mirip dengan karya Sharif Zainal Sagkif Shek sewaktu PeTA Ijazah 2010 iaitu Tari... Tari... Terakhir. Ironinya, Naim sendiri merupakan salah seorang daripada penarinya. Apa yang mengujakan di sini adalah kejujuran dan keikhlasan Azizi menari sangat mendominasi persembahan, projeksinya jauh meninggalkan tutor ASWARA selaku pasangan duetnya. Namun Yunus sebenarnya tidak menghampakan. Walaupun pada hari seterusnya Naim sendiri yang menari, kuasa Azizi masih tidak dapat disangkal.

Genuine
Naim Syahrazad

Karya Nadhirah Razid, satu-satunya koreografer tahun 2 Diploma yang bertajuk Question Mark merupakan sebuah karya yang ringkas dan asas. Tanpa ada sinopsis khusus, ianya sekadar komposisi mudah yang tidak matang namun wajar diberi pujian atas usaha serta niat berkaryanya. Ianya bukanlah tahap yang teruk untuk dikritik namun dengan meletakkan karya ini sebaris dengan karya -karya senior, mungkin menampakkan kelemahannya. Seperti dikatakan sebentar tadi ianya tidak memalukan bagi tahap Nadhirah dan wajar diberi pujian.

Question Mark
Nadhirah Razid

Cicak, karya Chai Vivan merupakan koreografi terbaik malam itu. Visual cicak yang cuba disampaikan oleh Vivan sangat mirip dengan hanya di'cicak'kan oleh tiga orang penari sahaja. Namun Vivan yang juga menari di dalam karyanya sangat memahami pergerakan cicak, begitu juga dengan Ng Xinying. Sukar mencari kelemahan kerana idea ringkas ini benar-benar berjaya tanpa perlu membimbangi aspek lain seperti teknikal. Kehadiran video projeksi mempertingkatkan penyampaian content persembahan. Tahniah Vivan!

Cicak
Chai Vivan

Fairul Zahid cuba menampilkan kelainan di dalam Figura, namun eksperimen ini tidak berjaya. Dengan membawa pemuzik dan penyanyi secara langsung, kumpulan ini menenggelamkan projeksi penari. Sekalipun Azizi Mansor, Kishore Kumar dan Fairul sendiri yang menarikan karya ini, kelantangan suara soprano Asmidar Ahmad menutup segala kekuatan mereka. Tambahan pula karya ini seperti hanya menunjuk-nunjuk keanjalan tubuh masing-masing. Setiap daripada mereka solah-olah cuba untuk menunjukkan kehebatan, lantas inilah kelemahan paling ketara.

Figura
Fairul Zahid

Seterusnya karya Denny Donius yang berjudul Possession tampil mencuit hati penonton. Karya yang mempunyai elemen pasca moden ini agak santai dan tidak terlalu teknikal sebaliknya menyelitkan banyak unsur komersil. Langkah bijak ini meletakkan karya ini antara yang teratas pada malam itu. Namun jika ia merupaka satu persembahan yang dinilai, maka bukanlah tahapnya di situ. Sedikit mengecewakan adalah durasinya agak singkat sehinggakan kepuasan hanya menjengah seketika tatkala menonton.

Possession
Denny Donius

Kolaborasi pelajar ijazah tahun 2 mengambil tempat dengan judul 9 or eight. Kolaborasi ini dilihat hanya seperti gabungan kelas komposisi dan disusun semula oleh mereka. Sedikit suntikan drama dan penceritaan yang menampakkan karya ini sedikit bermakna. "It's either you or us" seolah-olah menceritakan kisah kawan yang dipulaukan. Tatabahasa geraknya agak pelbagai kerana ianya datang dari tubuh setiap penari, makanya ia memperlihatkan keselesaan dan keserasian antara gerak dan emosi. Walaubagaimanapun struktur koreografinya sedikit longgar.

9 or eight
Kolaborasi pelajar ijazah tahun 2

Femenino Vs Realidad karya Marulhuda Mawardi sangat matang dan agak serius. Karya-karya Marul sering memperlihatkan diri beliau sendiri. Beliau gemar berfalsafah dalam berkarya. Sekali lagi buat kali ketiga, malam Gelombang Baru seperti parody kepada PeTA Ijazah 2010. karya ini seperti bayangan Kandi, karya A. Aris A. Kadir.

Femenino Vs Realidad
Marulhuda Mawardi

Penutup persembahan adalah sebuah karya komersil Suhaib Daud yang berjudul B.U.T yang memperjudikan isu beauty. Karya ini kelihatan ringkas tetapi complicated. Isu kecantikan merupakan isu yang sangat umum, tetapi garapan yang dibuat sangat teratur dan kemas. Tidak mementingkan teknik serta komposisi yang menarik sebaliknya banyak menekankan tema-tema serta semiotik yang memperjelaskan tujuan pengkaryaan. Sangat bukan binarisme dari segi bilangan penari, jantina, posisi, koreografi, tatabahasa gerak, struktur, bentuk, tatacahaya, busana malahan tatarias. Ia merupakan penutup tirai yang menaikkan kehangatan malam tersebut. Namun seperti karya Denny tadi elemen yang sama ini memang mencuit hati namun tahapnya bukanlah untuk dinilai, walaubagaimanapun sebenarnya ianya bijak dan berjaya.

B.U.T
Suhaib Daud

Secara keseluruhan Gelombang Baru kali ini benar-benar mencapai matlamat dengan menampilkan karya-karya baru oleh koreografer-koreografer baru yang berkaliber. Namun karya-karya yang berjaya mengundang jeritan dan sorakan tidaklah bermakna karya itu berjaya. Dengan mengeksploitasi penari hebat juga bukan ukuran kejayaan sesebuah karya. Jika semua karya malam ini merupakan karya untuk Penilaian Tahun Akhir, masih banyak ruang yang perlu diperbaiki baik untuk tahap Diploma mahupun Ijazah. Setiap koreografer perlu menitikberatkan mesej serta pengisian dan tujuan daripada kemaruk mencari gerak-gerak yang menarik dan kemudiannya ditampal dengan falsafah-falsafah serta drama-drama yang melemaskan. Kelamahan paling ketara setiap koreografer pada malam ini adfalah pemilihan muzik atau lagu yang kebanyakannya tidak serasi atau nampak ditampal serta personaliti dan kemunculan penari dengan busana yang tidak bermakna. Apa yang hendak dipentaskan adalah sebuah "persembahan" bukan koreografi semata-mata.

P/S Aku rasa minda aku makin tumpul dalam menelah koreografi. Bila lagi akan berkarya?