Sunday, November 7, 2010

Keghairahan Menari dan Koreograf

Assalamualaikum wbt,

Hari ini hari ke-4 aku bekerja sebagai koreografer untuk Teater Natrah di Istana Budaya. Aku hampir melupakan Sapta Purnama apatah lagi BENDERA. Tesis, tak perlu kata. Tak sempat nak menjengah walau seketika. Apa yang menarik sepanjang dua minggu ini ialah aku koreograf tiga benda dalam satu hari. Sedari awal pagi aku ke Istana Budaya menyiapkan koreografi Natrah, jam 2 aku ke SMK Taman Maluri, mengajar untuk pertandingan tarian, dan malam berselang-seli antara Sapta Purnama dan BENDERA.

Sebenarnya yang ingin aku buktikan di sini bukan kehebatan aku. Kehebatan membuat beberapa jenis dan genre koreografi yang berbeza pada waktu sama. Bukan juga kehebatan aku menurut kehendak orang ataupun kesibukan aku sebagai anak seni, sebaliknya aku lebih gemar berkongsi pengalaman bekerja dengan kumpulan yang berbeza latar belakang.

Penari-penari Teater Natrah terdiri daripada 100% penari profesional yang dibayar gaji bulanan atau erti kata lain, mendapat duit hasil daripada menari. Penari-penari Sapta Purnama dan BENDERA pula merupakan pelajar jurusan tari yang hanya membantu senior secara percuma serta mengeluarkan duit untuk menari dan penari-penari SMK Taman Maluri yang mungkin diklasifikasikan sebagai amatur kerana tidak mengeluarkan duit untuk menari serta tidak menari untuk mendapatkan duit, sebaliknya menari kerana suka-suka serta sekadar mewakili sekolah.

Aku tak gemar bercerita buruk tentang mereka, sebaliknya aku sering terfikir beberapa kali apakah tujuan mereka memilih jalan yang mereka pilih. Adakah penari-penari Istana Budaya ini memang minat menari dan memberikan sepenuh jiwa raga mereka terhadap seni kerana kecintaan yang tinggi terhadap seni warisan? Atau sekadar ingin bekerja tanpa memakai pakaian formal dan duduk mengadap komputer? Atau mungkin inginkan kerja tanpa memerlukan otak (tidak bermakna penari tidak berotak serta menari tidak memerlukan otak) atau mungkin sekadar ingin bekerja dan makan gaji untuk meneruskan hidup?

Bagaimana pula dengan pelajar ASWARA? Adakah Diploma mahupun Ijazah yang bakal digenggam itu dijadikan perhiasan dinding dan kemudiannya meneruskan karier di Istana Budaya atau sebagai penari carma? Atau menjadi penyelidik tari serta ilmuan seni yang tersohor? Atau sekadar menjadi koreografer Sehati Berdansa atau mungkin pengkritik Mari Menari? Atau menjadi pemikir budaya? Pewaris seni? Atau tutor ASWARA? Pensyarah? Jurulatih sekolah-sekolah? (bukan seperti JSBN yang aku agak kurang pasti hala tuju mereka). Atau mungkin, buka studio sendiri dan buat kostum untuk disewakan pada yang memerlukan? Entahlah.

.

Pelajar-pelajar SMK Taman Maluri (penari-penari) pula aku lihat mereka seperti sangat minat menari. Adakah kerana mereka jarang menari sehinggakan bila peluang menari tiba mereka akan melakukannya dengan bersungguh-sungguh? Atau kerana mereka enjoy melakukannya?Ada yang menyimpan cita-cita nak masuk ASWARA. Kemudian apa pula selepas itu?

Apa yang menarik di sini ialah aku cuba mencari passion atau keghairahan mereka terhadap apa yang disebut TARI (istilah yang baru wujud tika era kolonial, sedangkan dahulunya disebut main, tandak, igal gencong mengikut suku, daerah serta pemahaman). Kadang-kadang terlihat keghairahan remaja-remaja ini lebih memuncak. Mungkin kerana faktor usia, stamina serta mengumpul pengalaman. Namun masih juga terlihat keghairahan ini pada senior-senior yang sudah berpuluh tahun mengumpul pengalaman. Masih terlihat kakak-kakak serta abang-abang IB yang bertaraf ibu dan bapa ini memberi tumpuan bila aku mengajar, cuba berlatih sendiri bagi mempertingkatkan kemampuan agar seiring dengan yang muda. Tak kurang juga rakan sebayanya yang sudah tidak kuasa, seperti menari kerana syarat. Itu aku maklum, namun bagaimana pula dengan meraka yang baru setahun jagung dalam industri. Setakat pengalaman lima tahun pun belum ada apa yang boleh dibanggakan. Sekalipun sudah menerima pelbagai anugerah pun, tidak cukup membuktikan kehebatan. Sedangkan aku yang insyaAllah bakal menggenggam Ijazah Sarjana Muda Senitari (Koreografi) ini pun belum tentu hebatnya.

Jadi bagaimana hendak menilai seorang penari? Adakah kerana passionnya atau otaknya atau kepantasan menghafaz gerak atau membuat gerak yang cantik atau kefleksibelitiannya atau kemampuannya menari pelbagai genre tarian atau apa???

Bagi aku semua aspek penting. Kurang satu aspek kurang hebatlah penari itu.

Namun sepanjang dua minggu ini aku sering memikirkan apa yang mereka fikir tentang aku. Adakah mereka fikir aku bagus atau macam bagus kerana mengajar mereka? Atau adakah teknik pedagogi, metod serta terminologi aku bagus atau tidak? Adakah mereka rasa koreografi aku bagus atau tak? Susah atau senang? Atau nonsense? (Kit Yaw: 2010)