Thursday, March 1, 2012

Sentap

Assalamualaikum wbt,

Setelah semalam berehat sepenuhnya, hari ini bangun pagi dengan pantasnya kerana kesan Teh Orang Kampung. Terus aku dapat panggilan daripada PA Kak Erma beritahu yang aku kena ambil CD lagu dan skrip di pejabatnya di Wangsa Maju. Dengan semangatnya aku bergegas ke sana dengan menaiki kereta abang aku sebab kereta aku masih di bengkel, mengikis aku dengan RM480.00.

Setelah selesai ambil segala, aku terus hubungi bos untuk pertanyaan. Liputan pula tak bagus, putus-putus panggilan aku. Akhirnya dia call aku. Teranglah segala apa yang dia nak, tiba-tiba dia kata, "awak koreograf betul-betul, jangan malas-malas, biasanya kalau ada part persiapan, gerakan-gerakan mesti awak abaikan". Ketap bibir kejap, biasanya aku menjawab, tapi tadi aku diam dan akui dalam diri saja. Bukan malas nak menjawab, tapi aku akur.

Bukan apa, dah masuk minggu ke-5. Mungkin dia rasa aku tak koreograf sangat. Aku sedar bila pentas hujung minggu je, nampak macam tak banyak koreografi atau gerakan yang menarik. Jadi apa motif koreografer? Dah lah duduk depan Rosyam Nor. Aku pun tak pasti, di mata bos apa yang dipanggil koreografi? Sebenarnya aku memang suka buat kerja last minute, memang ramai yang tahu. Selalunya hasilnya memang meletup, tapi kali ni bukan aku tak boleh buat dengan masa yang terhad, cuma "artis-artis" tu agak lembab, maaf aku cakap, memang lambat, tapi tak semua. Ada yang aku dah bagi gerakan yang mudah, koreografi yang ringkas dan bermakna, tapi bila mereka buat balik dah jadi @#$%$%^^&&. Bukan nak salahkan mereka pun, mereka ni pun bukannya penari.


Minggu ke-2 yang lalu ada masa lebih, jadi aku ambil masa hampir 2 jam untuk sesi regangan otot, pemanasan badan serta sesi mengira tempo lagu. Itu saja dah cukup membuktikan hanya 3 orang sahaja yang faham dan kenal lagu. Sedih tau. Aku sedar maksud bos yang kata aku abaikan dan buat macam malas tu. Sebenarnya bukan malas tapi tak kuasa, sebab, dah tunjuk berkali-kali tapi tak paham-paham juga, apa aku nak buat? Misalnya gerakan kaki ke kanan dan ke kiri, sangat mudah, Airis Sofeah pun boleh buat (anak buah akulah, baru 1 tahun 4 bulan). Nak buat macam mana? kalau kau betul nak jadi pelakon, bukan sahaja jiwa, ritma dan rentak ada dalam diri kau, melodi pun berirama dalam jiwa kau. kalau kau nyanyi sumbang aku tak kisah, tapi sekurang-kurangnya fahamilah lagu, melodi dan tempo. Macam mana kau nak tau Q untuk bergerak kalau tak kenal lagu dan tempo? Tak kan sepanjang masa aku yang kena kira dan bagi Q? Kadangkala tak boleh salahkan mereka, sebab sepeti aku kata tadi, mereka bukan penari?

Kak Erma selalu bising kalau hari Jumaat koreografi tak siap. Sebenarnya bila dah lama berkecimpung dalam dunia koreografi dan teater, aku rasa koreografi ni terutamanya dalam teater, tak begitu susah, cuma kena ada kepandaian dalam diri penari atau pelakon tersebut. Seperti yang telah aku nyatakan tadi, aku memang biasa kerja di saat terakhir, cuma masing-masing kena bijak. Aku juga memang biasa mengajar "kayu" untuk menari, dan aku rela daripada mengajar penari atau pelakon yang dah rasa pandai. Cuma mungkin masa terlalu singkat dan kerja yang perlu dilakukan adalah agak banyak. Aku masih tak boleh salahkan mereka, kali ini aku akui, mungkin aku salah metod untuk mengajar mereka. Cuba lah minggu ini dengan cerita Si Bongkok. Harap-harap mereka makin matang dan koreografi aku "jelas" terlihat.

Salam

Friday, February 3, 2012

Pilih Kasih 3 : Minggu 1


Assalamualaikum wbt.

Maaf kerana lama tak post. Bukan tak ada masa. Ada saja post yang baru, cuma aku save, tak publish sahaja. Semua ada sebab-sebab tertentu. nanti dah tenang isu, keluarlah segala kisah dari zaman bakat TV lagi. InsyaAllah.

Hari ini aku dapat panggilan dari mama Eirma yang minta aku datang latihan di IPTAR. Ironinya setelah sekian lama dia suruh aku standby, akhirnya hari latihan, hari tu dia beritahu aku. Maka aku pun yang berkemeja datang latihan dengan sedemikan. Mulanya janji jam 6 tapi ditangguh ke jam 8. Terdetik di hati aku yang tiada lagi sesi "memecah ais" sebaliknya terus dengan sesi latihan. Tepat bagai dijangka.

Tema Maulidur Rasul adalah pembuka kepada segmen teater Pentas Pilih Kasih 3 ini. Hari ini juga aku terima skrip dan lagu baru. Pada waktu yang sama juga aku diminta untuk koreograf semuanya. Aku agak janggal kerana aku belum mengenali mereka semua dan kali ini tiada lagi pembantu pengarah seperti sebelum ini ada tiga orang bersama aku, ditambah pula seorang lagi yang menjaga lagu. Yang ada hanyalah "Demo".

Perkara yang paling aku takuti, benar-benar terjadi. Iaitu mereka kebanyakannya tidak mengenal tempo. Tunggak kepada tari di atas lagu adalah keserasian, pertamanya adalah tempo. Jika salah tempo maka cacatlah tandak itu. Wah, susah ni. Mungkin sesetengah orang tidak mudah mengira lagu mengikut tempo kerana biasanya mereka by heart atau follow the melody atau juga follow the mood and soul. Masalahnya, ianya hanyalah selawat. Kita sedari kecil diajar berselawat. Bukankah ia sebati dalam kepala kita. Tidak ada alasan tidak mengenal dan memahami alunan selawat.

Peserta-peserta Pilih Kasih Musim Ke-3

Namun kadangkala jika kita sudah meletakkan dalam minda kita bahawa "aku kena menari", maka kita akan ber"menari", maksudnya kita melakonkan tari tersebut. Jika kita bergerak dengan sendirinya kerana menghayati melodi syahdu serta menikmati senikata yang indah, maka secara sendirinya kita akan menari. Walaupun gerakan-gerakan kita telah disusun, jika tujuan pergerakan tersebut adalah kerana menghayati sehingga bergerak maka itulah tarinya.

Walaubagaimanapun masih terlalu awal untuk aku menilai mereka. ramai juga peserta musim lepas yang tidak boleh menari awalnya, namun lama-kelamaan mereka mahir. Apa-apapun aku nak ucapkan selamat berjuang dan selamat maju jaya dalam bidang yang kalian pilih ini. Jangan mengharapkan dunia glamor sebaliknya jadikan diri anda sebagai medium penghantar mesej kepada masyarakat melalui bakat seni anda.

InsyaAllah dalam post akan datang akan ku perkenalkan satu persatu peserta Pilih Kasih musim ke-3 ini dengan kerenah mereka sewaktu bersama aku. Wassalam.

Tuesday, August 16, 2011

Antara Pandai Menari & Boleh Menari

Assalamualaikum wbt,

Semalam aku ada mesyuarat dengan client yang nak persembahan tarian untuk majlis perkahwinannya. Janji jumpa di Istana Budaya. Tunggu punya tunggu, rupanya tak tahu nak masuk kat parkir Istana Budaya. Akhirnya dia letak kereta di belakang IB dan jalan kaki ke depan. Alhamdulillah perbincangan semuanya ok. Kagum aku dengan kesungguhannya dan tidak meluahkan rasa kesal dengan harga yang aku letak. Lagipun harga aku memang standard pun.

Kemudian aku terus memandu ke Cheras Batu 9. Walaupun sedikit berat hati ini nak ke sana. Hari ini aku akan mengajar Persatuan Murid-Murid Tua Cheras Batu 9. Mereka merupakan alumni sekolah-sekolah di sekitar Batu 9 dan ke semuanya adalah perempuan berbangsa Cina. Aku tiba 1 jam 20 minit awal. Kelas aku bermula jam 1 tengahari, tapi aku buat keputusan untuk tidur seketika di dalam kereta. Maklumlah, walaupun tak tidur semalamnya dan aircond kereta aku sejuk, aku masih tak dapat lelap.

10 minit sebelum jam 1, aku naik ke studio mereka. Aku pernah ke sini dahulu sekitar tahun 2005 untuk mengajar tarian, tak silap aku aku pernah mengajar mereka tarian Zapin Tenglu, Canggung dan Kuda Kepang. Kali ini mereka minta aku mengajar tarian India. Mereka membayangkan aku akan habis mengajar hari ini juga iaitu dengan masa yang diperuntukkan selama 3 jam. Rasa-rasanya mampu ke? Jawapannya, aku mampu, tapi mereka...

Apa yang aku dapat hari ini ialah, tak semestinya kita penari, sama ada profesional atau amatur, kita boleh menari. Boleh menari dan pandai menari juga adalah perkara yang berbeza. Apatah lagi tarian India yang aku ajar adalah Jathiswaram. Aku pun bukannya hebat menari tarian India, cuma sekurang-kurangnya pengetahuan dalam bidang ini menjadikan aku bijak menguruskannya.

Aku agak bersimpati dengan mereka kerana kelihatan sangat letih. dahaga dan tidak bermaya. Namun aku tidak sekelumitpun rasa penat. Walhal aku berpuasa, cuma mungkin tekak aku agak kering itu sahaja. Aku harap minggu depan aku dapat habiskan tarian ini dan dapat polish agar jadi lebih kemas.

Jauh di sudut hati aku, aku bersyukur belajar di ASWARA kerana aku dapat pendedahan semua jenis tarian dan badan aku sempat dilatih dengan bentuk-bentuk tari dan koreografi yang berbeza walaupun aku bukanlah best student.

p/s Menari bukannya mudah, koreograf lagilah susah, mengajar menari kepada yang tak boleh menari adalah amat sukar!!!

Tuesday, August 9, 2011

Kerenah Di Bulan Ramadhan


Assalamualaikum wbt,

Siang tadi aku ada janjitemu dengan seorang ejen ni. Cakap dalam telefon punyalah nampak macam pakcik-pakcik. Sekali jumpa tadi alahai lengchai, manyak muda wo. Aku survey tempat untuk buat studio. Alhamdulillah nampak ok dan menarik juga tempatnya, harga pun agak murah.

Kemudian petang, si Zenta Kimora pun ajaklah aku berbuka, katanya nak tengs. Ok la kan. Perut yang kimpah, mari zaberkan. Dia sibuk je bercerita dengan terujanya yang berat dia kini dah hilang 10.5 kilo. Ah, ada aku kesah. Tunggu la, aku akan buang lemak aku 25 kilo. Mati....

Kami berbuka di Hard Rock Cafe, mampu? jam 6 petang dah sampai. Yang bestnya orang sebelah meja kami tu, nak order pun sampai setengah jam. Inilah itulah, tak fahamlah, nak tukarlah. Macam-macam hal. Sekali sampai makanan, mak oi. Aku yang kimpah ni pun tak larat nak habiskan. Tengok perut dia, oh patutlah, mengidam kot. Last-last tapau. Sekali tengok muka, hurmm patutlah. Tak taulah, nak tunjuk banyak duit ke, nak bagitahu yang kau artis, jadi order banyak pun boleh bayar.

Nasi Ayam Ala Thai

Nasi Daging Black Pepper Ala Indonesia

Appetizers

Salad Ayam

Sup Ayam

Brownies

Apa-apa sajalah. Yang penting bulan puasa ni baiklah kita berjimat cermat. Nanti lepas raya papa kedana gamaknya ye.

Sunday, August 7, 2011

Segalanya untukmu PEWARA

Assalamualaikum wbt.

Aku kini sibuk membuat kertas kerja dan rancangan perniagaan untuk melebarkan sayap perniagaan aku. Bukannya perniagaan memperdagangkan adik beradik macam 4Starz, hahaha, taklah gurau je ek adik Shah Rezza daripada abang Muzstar-E yang tak kacak ni. Sebaliknya perniagaan aku memberi sewaan kostum, mengajar menari serta memberi khidmat sewaan studio.


Agak lebam biji mata aku tak tidur. Harap Allah permudahkanlah kerja aku ini. Semoga keberkatan Ramadhan memberi kelancaran di dalam segala urusanku. Apa-apapun aku harap setelah aku hantar kertas kerja dan rancangan perniagaan aku, bank akan terima dan meluluskan pinjaman aku. Amin.

Thursday, August 4, 2011

Mark Up

Assalamualaikum wbt,

Isu mark up ini sebenarnya bukan isu baru dalam industri seni persembahan. Aku sendiri pernah buat kerja-kerja macam ni. Buat sesiapa yang tak tau apa itu mark up, bukalah kamus ye. Kerja ni ada yang halal ada yang haram (hukum-hakam ni terletak pada Allah, ianya bergantung kepada nawaitu). Bagi aku kalau kena caranya, tak salah. Yang salah selalunya apabila ada orang yang mengambil untung atas angin. Ni yang aku hangin ni..

Telan selagi ko mampu, baik ko telan viagra la..

Kisah berlaku hari ni adalah, seorang nilah yang aku namakan sebagai Z (bukan nama sebenar). Banyak sudah cerita pasal si Z ni suka mark up, tak cukup dengan tu, dia suka potong payment atas banyak alasan. Yang paling best baru-baru ni payment aku kena potong dengan alasan cukai pengurusan. WTF? For your information, itu memang kerja dia, dan dia makan gaji bulan dengan menguruskan apa yang dia buat sekarang, jadi apa yang kau kerjakan hari-hari adalah tugas ko kepada tempat ko kerja.

Kerja ko memang tak ikhlas, sebab tu yang ko nampak hanya duit je depan mata ko..

Tak habis kat situ, baru-baru ni aku dapat job daripada seorang kenalan aku ni lah, tapi aku tolak atas beberapa sebab. Tiba-tiba lepas beberapa hari si Z ni call aku cakap pasal job ni, aku pun bagitahu dia yang aku pernah dapat job yang sama dan aku tanya, job ni sama ke? Dia tak tau. Nak dijadikan cerita aku dah bagi quotation kat si Z ni dan dia dah submit, pastu dia bagitau aku yang harga yang organizer boleh bagi adalah sekian-sekian harga, yang mana amaunnya hampir separuh daripada harga yang aku quote. Bila aku tanya pada orang yang mula-mula offer aku, baru aku tau, si Z jadi orang tengah dan mark up kat situ. Ironinya dia hanya orang tengah je, tak de peluh pun yang perlu dia keluarkan dan dia mark up harganya yang mana boleh beli iPhone4 untuk aku lagi satu. Sakit tak hati kau Maria?

Oh iPhone4, kau lagi berharga daripada si Z yang pakai Nokia monofonik tu je

Ni pun ada satu kes mamat seorang nilah, tak tau kawan ke lawan. Siap jeling aku lagi, malas nak cerita sangat pasal puncanya, tapi yang pasti dia sakit hati dengan aku. Suka hati kau la. Aku buat macam tu sebab aku tau kau suka mark up banyak. Dulu pernah kantoi tanpa kau sedar yang kau mark up lebih daripada 50%. Kali ni aku tak nak teraniaya.

Apa? 50 hengget ke 50 percent? Ni haku bagi duit baru lagi, mampu?

Sejujurnya aku pernah mark up sehingga 50% daripada harga client bayar, tapi ko tengok ya apa kerja yang aku buat. Aku meeting dengan client 3 kali, first meeting dia cakap apa dia nak, second time aku present idea, third aku bagi final draft apa yang kami akan buat. Kemudian show tu aku yang dapat, lagu-lagu pula daripada koleksi aku dan aku edit sendiri, kostum dan aksesori semua aku punya dan aku yang pergi set up sendiri, koreografi aku yang buat, bawa penari pula naik kereta aku dan aku yang drive, parking hotel aku yang bayar, duit makan penari aku tanggung, aku juga salah seorang daripada yang menari cuma tempat latihan je bukan tempat aku, tapi tempat free. Jadi tak salahkan? kalau kau tak mampu buat macam mana aku buat, jangan ada hati nak jeling-jeling aku. Betulkan kedudukan mata kau dulu.

Betulkan kedudukan mata ko dulu sebelum jeling aku dan kata aku kimpah dan zaber.

Akhir kata aku memohon maaf kepada yang terasa. Kalau kau rasa pedasnya cili yang kau makan, maksudnya ko tak tahan pedas. Ouch.. Kepap bibir.. As Salam.

Wednesday, June 1, 2011

TyIcKooUnS : Berat dan Sinikal

Assalamualaikum wbt,

Naskhah ini sebenarnya berat. Aku dipanggil oleh Wan untuk menjadi koreografer kepada teater ini tak membayangkan sesuatu yang sulit sehinggalah aku membaca skripnya. Berulang kali juga aku membacanya walaupun sudah dibaca dengan emosi sewaktu script reading aku masih tak faham. Begitu sukar untuk aku mencapai matlamat naskhah ini. Menurut Wan, karya ini pernah dipentaskan dulu di ASWARA, cuma aku yang tidak berkesempatan untuk menonton. Sedangkan persembahan tari pun terkadang tengok terkadang terlepas, inikan pula teater.

poster TyIcKooUnS

Setelah beberapa kali bertangguh sesi latihan akhirnya aku membuat keputusan untuk terus menghubungi Wan. Wan meminta aku untuk datang ke sesi latihan lakonan. Aku datang berbekalkan iPhone4 aku semata-mata untuk merakam babak beserta lagu-lagu yang yang memerlukan koreografi. Ternyata itulah kepentingan yang sudah biasa aku lakukan. Lagu-lagu yang dimainkan oleh White Purcussion tidak sama seperti di dalam CD yang telah diberi awal kepada aku.

Seperti biasa juga aku sudah dapat mengagak dan dapat membaca fikiran Wan apa yang cuba dibayangkannya. Wan yang dalam keadaan selesema gigih menerangkan kepada aku apa yang dia gambarkan. Aku sekadar menerima dan cuba memproses sendiri apa yang diimpi oleh Wan. Keesokan harinya aku datang ke DBP pada waktu petang untuk sesi latihan tari bersama korus. Kesemuanya adalah pelajar dan graduan dari UiTM Shah Alam. Apa yang mengecewakan aku, ini bukan kali pertama aku menghadapi masalah ketepatan masa di kalangan orang-orang teater. Kalau lewat 30 minit, aku masih boleh terima, kalau lewat sekali, juga aku boleh terima. Setiap hari mereka lambat dan lewat lebih daripada sejam! Guys, u need to change your attitude.

Nilah budak-budak chorus tu.

Walaubagaimanapun mereka mempunyai komitmen dan fokus yang baik. Walaupun mereka bukannya penari, tetapi mereka nampak visi aku sebagai koreografer. Tambahan pula koreografi aku untuk teater biasanya bukannya terlalu teknikal pun dan aku juga gemar membuat komposisi gerak yang beremosi, jadi mudah bagi seorang pelakon menerima gaya gerak aku.

Bersama Wan dan Azhar.

Cabaran lain yang menduga aku adalah kekangan waktu serta limitasi ruang. Memang aku yang koreograf pergerakan-pergerakan korus, tetapi aku juga perlu mengikut arahan yang telah ditetap oleh Wan. Kadangkala korus berubah menjadi penglipurlara, adakalanya mereka juga adalah pelakon, kadang-kadang penari. Perubahan-perubahan ini memerlukan perhatian teliti supaya setiap babak lancar dengan transisi yang kemas.

Antara babak dalam TyIcKooUnS.

Apabila sudah sampai ke hari venue rehearsal. Aku agak tercengang kerana tiada set pentas mahupun apa-apa entiti di atas pentas. Sehingga keesokan harinya aku membantu Wan mengangkat beberapa platform untuk disusun untuk dijadikan set. Wan sebenarnya kelihatan sugul dan mati akal. Aku cuba memberi beberapa cadangan agar kekusutan di benaknya terlerai. Sebenarnya banyak yang Wan impikan tidak terhasil, naun kesederhanaan ini meletakkan karya ini di tahap yang betul. Aku yang juga membantu memberi tajaan wordrobe, tidak ketinggalan menonton pementasan ini hari-hari sebagai tanda sokongan.

Malangnya naskhah yang baik, karya yang bagus, tidak ramai yang datang menonton. Aku cuba sedaya upaya mempromosikannya di kalangan kawan-kawan aku. Ada juga beberapa kawan aku yang datang. Tak kisahlah sama ada mereka datang sebab nak tengok Zahiril Adzim atau nak tonton teater ini. yang penting mereka datang. Cuma yang aku kesalkan di sini adalah, Revolution Stage adalah syarikat graduan teater ASWARA dan diterajui oleh graduan teater ASWARA dan teater ini dimonopoli oleh graduan teater ASWARA, malangnya tiada seorang pun pensyarah teater dari ASWARA yang datang menonton pementasan ini.

Antara barisan pelakon yang menjayakan pementasan ini.

P/S Jangan tanya kenapa kalau teater ASWARA tak ramai yang datang tonton. Kepada pensyarah teater ASWARA, bawa-bawalah bergaul dengan komuniti luar dan keluarlah dari tempurung anda.

Sunday, April 17, 2011

Ujibakat Bakat TV

Assalamualaikum wbt,

Sebenarnya aku tak pasti apa yang aku lakukan siang tadi. Adakah sebab orang suruh atau memang aku yang nak buat. Ujibakat adalah perkara yang paling aku tak gemar. Kalau Fairuz yela, memang hobilah!. Jadi aku yang agak keberatan ni pun melangkah lagi ke Auditorium P.Ramlee, Wisma Radio Angkasapuri untuk ujibakat Bakat TV.


Bakat TV telah bermula sejak tahun 1070, Selama 15 tahun sejak diterbitkan, rancangan ini telah melahirkan artis-artis berbakat dalam bidang nyanyian, muzik dan juga komedi. Tahun 2011 Bakat TV kembali lagi, tetapi kali ini memberi nafas baru dengan suntikan interaktif di kalangan penonton di rumah dan juga studio. Objektif Bakat TV adalah untuk mencari bakat-bakat baru yang pelbagai dan berkualiti sebagai pelapis generasi artis-artis tanah air yang sedia ada.RTM menerbitkan rancangan mencungkil bakat baru dengan menampilkan kategori baru sebagai salah satu cara untuk mempromosikan nilai-nilai budaya 1Malaysia dalam bidang seni di samping memupuk semangat muhibbah. (Katanya).

Bukan main bersemangat lagi nyanyi lagu Hujan Di Tengahari nyanyian
Allahyarham Tan Sri P.Ramlee di Auditorium P.Ramlee. Eeh macam ada luck je?

Mula-mula tu gemuruh la juga, ye lah aku ni tak suka sangat masuk pertandingan nyanyi-nyanyi ni sebab aku tahu suara aku tak sedap sangat pun walaupun range aku besar, adoi, tapi aku buat selamba je. Punyalah kami bersedia tiga lagu, sekali hanya perlu nyanyi satu lagu dan dua minit sahaja. Masing-masing pun fikirlah lagu mana satu yang sesuai. Akhirnya kami memilih untuk menyanyikan lagu Hujan Di Tengahari. Kononnya lagu tu ada perlahan ada laju dan ada accapella dan minus one dan ada harmoni dan ada menari. Kuatlah kononnya. Awal-awal tu feeling professional la, tak nak ambil key, hafal konon. Naik pentas, perkenalkan diri, ambil first note selamba rakon, masuk minus one, aduh lari key. Padan muka. Yang penting perform.

Yang best lagi, ada pula budak-budak ASWARA yang lain. Kumpulan Gambuse katanya. Sempat juga tengok, boleh tahan juga budak-budak ni. Hebat. Mesti dapatlah. Lagi sorang Keycha, main marimba. Yang menjadikan kami pelik, dia masuk dua kali. Maksudnya dia diberi peluang kedua. Habis je giliran kami, kami pun bergambarlah dengan jurufoto. Katanya sebab kami tak bawa gambar kumpulan. Manalah kami tau, ujibakat ini pun tau dari mulut ke mulut.


Dah lepas azablah konon, feeling artis kejap ada fotoshoot. Dengan selekehnya namun tetap rakon ok. Walaupun ke laut tadi dengan Abby salah lirik lah apa lah. Tak apa lah, ada rezeki adalah, tak ada tak apa.

Jadi habis semua lepas fotoshoot apa semua, kami pun nak baliklah, tiba-tiba dalam perjalanan turun ke pondok polis kat depan, aku yang naik kereta dengan Fairuz ni terserempaklah dengan Abby dan Ajude, katanya rasa macam nak buat balik ujibakat tu. Lagipun kaunter tutup jam 5, sekarang baru jam 4, sempat kata Abby. Ajude call Abang Ijan, dia marah sebab kita bawa lagu Hujan Di Tengahari sebab lagu Ku Pinta Lagi lebih yakin dengan harmoni. Jadi, kami pun patah balik ke Auditorium P.Ramlee dan bertanya kat Kak Tisshot (nama email dia) boleh tak kami nak ujibakat balik. Katanya ok. Fuh. Apa lagi, cepat-cepatlah praktis.

Sementara tunggu nak diujibakat semula, ada seorang bardo ni datang ujibakat juga. Ingatkan main muzik ke apa ke, ye lah siap pakai vest dan seluar jeans. Rupa-Rupanya menari solo, Dikir Bertingkah pula tu. Kemudian orang RTM tanya, koreografi ni sama je macam Pak Ngah punya penari, copy ke? Aduh pedih ulu hati mendengarnya. Budak ni dari UiTM katanya. Tak apalah ada juga usaha budak ni nak memajukan dirinya dengan datang ujibakat ini. Nasib baik dia tak tahu yang tiga orang kat bawah ni, termasuk Nanie yang menonton persembahan dia tadi tu ada Diploma dan Ijazah dalam bidang tari. Kalau tak mesti dia berubah jadi pohon semalu rimba.


Ada ciri-ciri artis tak? Tau nama kumpulan kami apa...
MUZSTAR-E

Akhirnya tiba giliran kami untuk kali ke-2. Yang bestnya ada seorang crew ni tanya aku, "Eh macam kenal je, awak ni koreografer Pilih Kasih kan?" Huhuhu, tersipu-sipu aku feeling popular kejap. Tinggi sikit dah hidung aku. Yang penting kali ke-2 ni aku bawa iPod Fairuz, buka applikasi piano, tenak not. Habis cerita. Semuanya lancar. Kami pun pulang dengan tenang.

Tau tak dari mana datangnya idea nama kumpulan kami? Muzstar-E adalah gabungan perkataan Muzik dan Tari, disebut muztari, tapi ejaan sebegitu kononnya komersil dan ada perkataan star, bintanglah kononnya. Secara metanaratifnya pula, bunyinya mirip bunyi musytari iaitu planet terbesar di dalam sistem suria yang membawa maksud kami bukan sahaja berbadan besar, malah berbakat besar. Hahahah, Hana tak?

P/S Kalau dapat masuk, jangan lupa undi tau.