Thursday, March 1, 2012

Sentap

Assalamualaikum wbt,

Setelah semalam berehat sepenuhnya, hari ini bangun pagi dengan pantasnya kerana kesan Teh Orang Kampung. Terus aku dapat panggilan daripada PA Kak Erma beritahu yang aku kena ambil CD lagu dan skrip di pejabatnya di Wangsa Maju. Dengan semangatnya aku bergegas ke sana dengan menaiki kereta abang aku sebab kereta aku masih di bengkel, mengikis aku dengan RM480.00.

Setelah selesai ambil segala, aku terus hubungi bos untuk pertanyaan. Liputan pula tak bagus, putus-putus panggilan aku. Akhirnya dia call aku. Teranglah segala apa yang dia nak, tiba-tiba dia kata, "awak koreograf betul-betul, jangan malas-malas, biasanya kalau ada part persiapan, gerakan-gerakan mesti awak abaikan". Ketap bibir kejap, biasanya aku menjawab, tapi tadi aku diam dan akui dalam diri saja. Bukan malas nak menjawab, tapi aku akur.

Bukan apa, dah masuk minggu ke-5. Mungkin dia rasa aku tak koreograf sangat. Aku sedar bila pentas hujung minggu je, nampak macam tak banyak koreografi atau gerakan yang menarik. Jadi apa motif koreografer? Dah lah duduk depan Rosyam Nor. Aku pun tak pasti, di mata bos apa yang dipanggil koreografi? Sebenarnya aku memang suka buat kerja last minute, memang ramai yang tahu. Selalunya hasilnya memang meletup, tapi kali ni bukan aku tak boleh buat dengan masa yang terhad, cuma "artis-artis" tu agak lembab, maaf aku cakap, memang lambat, tapi tak semua. Ada yang aku dah bagi gerakan yang mudah, koreografi yang ringkas dan bermakna, tapi bila mereka buat balik dah jadi @#$%$%^^&&. Bukan nak salahkan mereka pun, mereka ni pun bukannya penari.


Minggu ke-2 yang lalu ada masa lebih, jadi aku ambil masa hampir 2 jam untuk sesi regangan otot, pemanasan badan serta sesi mengira tempo lagu. Itu saja dah cukup membuktikan hanya 3 orang sahaja yang faham dan kenal lagu. Sedih tau. Aku sedar maksud bos yang kata aku abaikan dan buat macam malas tu. Sebenarnya bukan malas tapi tak kuasa, sebab, dah tunjuk berkali-kali tapi tak paham-paham juga, apa aku nak buat? Misalnya gerakan kaki ke kanan dan ke kiri, sangat mudah, Airis Sofeah pun boleh buat (anak buah akulah, baru 1 tahun 4 bulan). Nak buat macam mana? kalau kau betul nak jadi pelakon, bukan sahaja jiwa, ritma dan rentak ada dalam diri kau, melodi pun berirama dalam jiwa kau. kalau kau nyanyi sumbang aku tak kisah, tapi sekurang-kurangnya fahamilah lagu, melodi dan tempo. Macam mana kau nak tau Q untuk bergerak kalau tak kenal lagu dan tempo? Tak kan sepanjang masa aku yang kena kira dan bagi Q? Kadangkala tak boleh salahkan mereka, sebab sepeti aku kata tadi, mereka bukan penari?

Kak Erma selalu bising kalau hari Jumaat koreografi tak siap. Sebenarnya bila dah lama berkecimpung dalam dunia koreografi dan teater, aku rasa koreografi ni terutamanya dalam teater, tak begitu susah, cuma kena ada kepandaian dalam diri penari atau pelakon tersebut. Seperti yang telah aku nyatakan tadi, aku memang biasa kerja di saat terakhir, cuma masing-masing kena bijak. Aku juga memang biasa mengajar "kayu" untuk menari, dan aku rela daripada mengajar penari atau pelakon yang dah rasa pandai. Cuma mungkin masa terlalu singkat dan kerja yang perlu dilakukan adalah agak banyak. Aku masih tak boleh salahkan mereka, kali ini aku akui, mungkin aku salah metod untuk mengajar mereka. Cuba lah minggu ini dengan cerita Si Bongkok. Harap-harap mereka makin matang dan koreografi aku "jelas" terlihat.

Salam

Friday, February 3, 2012

Pilih Kasih 3 : Minggu 1


Assalamualaikum wbt.

Maaf kerana lama tak post. Bukan tak ada masa. Ada saja post yang baru, cuma aku save, tak publish sahaja. Semua ada sebab-sebab tertentu. nanti dah tenang isu, keluarlah segala kisah dari zaman bakat TV lagi. InsyaAllah.

Hari ini aku dapat panggilan dari mama Eirma yang minta aku datang latihan di IPTAR. Ironinya setelah sekian lama dia suruh aku standby, akhirnya hari latihan, hari tu dia beritahu aku. Maka aku pun yang berkemeja datang latihan dengan sedemikan. Mulanya janji jam 6 tapi ditangguh ke jam 8. Terdetik di hati aku yang tiada lagi sesi "memecah ais" sebaliknya terus dengan sesi latihan. Tepat bagai dijangka.

Tema Maulidur Rasul adalah pembuka kepada segmen teater Pentas Pilih Kasih 3 ini. Hari ini juga aku terima skrip dan lagu baru. Pada waktu yang sama juga aku diminta untuk koreograf semuanya. Aku agak janggal kerana aku belum mengenali mereka semua dan kali ini tiada lagi pembantu pengarah seperti sebelum ini ada tiga orang bersama aku, ditambah pula seorang lagi yang menjaga lagu. Yang ada hanyalah "Demo".

Perkara yang paling aku takuti, benar-benar terjadi. Iaitu mereka kebanyakannya tidak mengenal tempo. Tunggak kepada tari di atas lagu adalah keserasian, pertamanya adalah tempo. Jika salah tempo maka cacatlah tandak itu. Wah, susah ni. Mungkin sesetengah orang tidak mudah mengira lagu mengikut tempo kerana biasanya mereka by heart atau follow the melody atau juga follow the mood and soul. Masalahnya, ianya hanyalah selawat. Kita sedari kecil diajar berselawat. Bukankah ia sebati dalam kepala kita. Tidak ada alasan tidak mengenal dan memahami alunan selawat.

Peserta-peserta Pilih Kasih Musim Ke-3

Namun kadangkala jika kita sudah meletakkan dalam minda kita bahawa "aku kena menari", maka kita akan ber"menari", maksudnya kita melakonkan tari tersebut. Jika kita bergerak dengan sendirinya kerana menghayati melodi syahdu serta menikmati senikata yang indah, maka secara sendirinya kita akan menari. Walaupun gerakan-gerakan kita telah disusun, jika tujuan pergerakan tersebut adalah kerana menghayati sehingga bergerak maka itulah tarinya.

Walaubagaimanapun masih terlalu awal untuk aku menilai mereka. ramai juga peserta musim lepas yang tidak boleh menari awalnya, namun lama-kelamaan mereka mahir. Apa-apapun aku nak ucapkan selamat berjuang dan selamat maju jaya dalam bidang yang kalian pilih ini. Jangan mengharapkan dunia glamor sebaliknya jadikan diri anda sebagai medium penghantar mesej kepada masyarakat melalui bakat seni anda.

InsyaAllah dalam post akan datang akan ku perkenalkan satu persatu peserta Pilih Kasih musim ke-3 ini dengan kerenah mereka sewaktu bersama aku. Wassalam.