Friday, January 28, 2011

Pilih Kasih Minggu ke-8: Dramatari & Kisah Hantu Lagi??

Assalamualaikum wbt,

Sekali lagi Kak Eirma memilih untuk mementaskan kisah hantu seperti minggu ke -4 namun masih menyuntik elemen jenaka, manakala persembahan pembukaan katanya bertemakan tarian Malaysia. Tunggu dan lihat, harap-harap tidak menduga kredibiliti aku sebagai penciptari.


Wednesday, January 12, 2011

Pilih Kasih Minggu ke-6 : Hindustan

Assalamualaikum wbt,

Semalam latihan diadakan di Auditorium P.Ramlee, Wisma Radio RTM Angkasapuri. Kebiasaannya aku akan datang awal. Berbekalkan skrip yang aku cetak sendiri di rumah aku melangkah ke sana dengan otakku yang tek henti berfikir tentang koreografi bertemakan hindustan. Namun aku masih tidak mampu menetapkan gaya koreografi dan persembahan pada kali ini selagi aku belum mendengar lagu lagi. Nyatanya CD lagu masih lambat aku terima. Aku yang memulakan sesi latihan dengan script reading meneruskan kelas dengan sesi regangan otot. Walaubagaimanapun aku masih perlu masa aku sendiri untuk mendengar dan memahami struktur lagu kali ini. Latihan kali ini tidak disertai oleh pengarah serta penolong-penolongnya, lebih sayu si penjaga lagu juga sekadar datang dan memberikan aku CD.

Satu lagu yang menggabungkan duet Ku Hariz dan Livonia selesai dengan baik kerana komitmen serta kesungguhan mereka. Namun lagu jin yang dikepalai oleh Bodth benar-benar menyesakkan kepala otak aku. Bagaimana pula latihan hari ini, sudah pekak telinga aku mendengar lagu-lagu minggu ini. Berpinar mata aku yang jenuh menonton klip-klip hindustan. Dengar khabar, minggu ini mereka akan dibantu oleh 10 orang penari Istana Budaya. Lihatlah apa yang akan jadi. Tuhan tolonglah berikan ku secebis kudratMu, Amin...

Tuesday, January 11, 2011

Keputusan PeTA: Inikah Yang Dinanti?

Assalamualaikum wbt,

Setelah enam tahun melalui laluan getir ini, akhirnya tiba aku di garisan penamat. Jika pelari pecut merangkul emas kerana menjadi yang pertama menjejak garisan, namun adakah semua bakal graduan tari ini juga bakal menggenggam emas dek kerana sama-sama mencecah tahap ini dengan gelaran graduan pertama ijazah ASWARA? atau adakah ukurannya terletak pada produk yang dihasilkan? Atau masa depannya dan sumbangannya yang bakal dicurahkan kepada industri seni budaya bangsa dan negara?

Dimudahkan cerita, aku ingin berkongsi kisah hari ini yang mana keputusan Penilaian Tahun Akhir (PeTA) serta keputusan peperiksaan akhir semester telah tercetak secara rasmi. Hanya senyum tawar yang mampu terbentuk di wajahku. Lebih menjengkelkan kerana aku juga mengetahui keputusan orang lain bersaksikan sepasang mataku. Bukan isu apa yang ingin aku perdebatkan, cuma aku tertanya-tanya bagaimana sesuatu karya seni diberi penilaian?

A : Kerana kualiti persembahannya serta materialnya
B : Kerana mesej karyanya serta pemikirannya
C : Kerana sikap dan disiplin pengkarya
D : Kerana latar belakangnya serta keluarganya
E : Kerana beliau diminati atau digilai oleh penilai
F : Kerana namanya yang sudah tersohor
G : (Nyatakanlah jika anda ingin nyatakan)

Tak kisahlah apa jua keputusannya. Yang penting aku tahu apa yang aku lakukan, tanyalah setiap inci apa yang aku lakukan, pastinya aku tahu apa yang aku lakukan tidaklah aku diam membisu tatkala ditanya apa itu site specific lantas diberi markah tertinggi. Sekurang-kurangnya penilai luar nampak kelebihan aku. Apa yang dapat aku simpulkan adalah:

Penilai luar menilai PRESTASI,
Penilai dalam menilai SIKAP,

Penilai luar menilai POTENSI,
Penilai dalam menilai LATARBELAKANG,

Penilai luar NAMPAK CARA BERFIKIR,
Penilai dalam NAMPAK CARA MENJATUHKAN.

Penilai luar PILIH YANG CEMERLANG,
Penilai dalam PILIH KASIH DAN PILIH BULU.

Bermainlah dengan politik anda. Anak yang kalian suap itu akan lumpuh tatkala kalian tiada kelak, ingatlah kata-kataku ini. Sebelum berakhir, ingin aku minta sesuatu, bolehkah kalian senaraikan 5 orang sahaja penari serta koreografer kontemporari yang bertahan di dalam industri ini sebagai penari dan koreografer kontemporari sepenuh masa tanpa membuat kerja sambilan serta bukan datang dari keluarga senang dan tiada ahli keluarganya yang terlibat di dalam bidang tersebut dan hidupnya bahagia serta kaya?

Siapa ya? Maaf, 3 orang pun sudah memadai untuk kalian senaraikan. (Tidak termasuk yang mendapat gaji bulanan sebagai pensyarah kerana kerjaya mereka adalah pensyarah, bukan penari ataupun koreografer sepenuh masa).

Walaubagaimanapun Alhamdulillah aku bersyukur kerana sekurang-kurangnya aku sudah mempunyai syarikat aku sendiri yang sudah 5 tahun beroperasi secara rasmi.

KAU ADA? NAN HADO!!

Sekian, Wassalam.

Monday, January 10, 2011

Keputusan PeTA

Aku hanya dapat B+ sama dengan Fairuz. Walaupun Prof Anis gelarkan aku tokoh :)

Sunday, January 9, 2011

Pilih Kasih "Andakah Penari Yang Saya Cari?"

Assalamualaikum wbt,

Selesai sudah Pilih Kasih minggu kelima. Walaubagaimanapun kritikan yang diberikan oleh pengkritik, sememangnya tidak menyentuh langsung soal tari mahupun fizikal teater peserta yang melibatkan keringat dan cetusan idea aku. Sepanjang 5 minggu aku bekerja sebagai koreografer, minggu inilah yang membolehkan aku menarik nafas lega. Pertamanya kerana persembahan pembukaan mereka yang tidak mengecewakan aku dan ianya berjalan seperti yang dirancang, kedua, gerak aturan dalam lagu untuk segmen teater juga kelihatan agak kemas serta tidak nampak seperti mati akal dan yang terakhir kerana peserta yang terkeluar minggu ini merupakan peserta yang paling tidak pandai menari, iaitu Rosana Ainudin. Bukan aku gembira kerana dia terkeluar, secara positifnya aku memandang ia sebagai hikmah kerana jika beliau masih berada di dalam rancangan ini, beliau akan kerap dikutuk dan dijadikan bahan oleh mereka yang sering memperlekehkan beliau menari. Keduanya, kerja aku selepas ini semakin mudah kerana aku tidak perlu bekerja keras untuk memberikan tumpuan lebih kepada beliau sahaja. Namun kredit wajar diberikan kepadanya kerana ketekunan dan kesungguhannya belajar menari tanpa sekelumit pun rasa malu ditertawakan dan diperlekehkan. Beliau yang kerap bertanya dan sering mencuba, akhirnya tidak mengecewakan aku pada minggu beliau tersingkir. “Abang, Rosa nak menari, Rosa tak nak duduk dalam kotak”, itulah kata-kata beliau berkali-kali sambil merayu aku untuk mengajarnya. Aku berkata padanya, sekiranya aku dikecewakan, minggu-minggu berikutnya tiada peluang baginya lagi untuk menari. Akhirnya minggu ini telah dibuktikan dengan tidak begitu cemerlang, namun tidak menghampakan aku.


Mengimbau kembali minggu pertama dengan teater bertajuk Ali Punya Setan, menggandingkan Rosana dengan Bil Azali sebagai watak utama. Tatkala itulah aku terketap bibir melihat si Rosa ni menari, bukan sahaja tidak pandai menari, tak kenal lagu serta tak pandai mengira tempo. Walaubagaimanapun ramai lagi yang lemah di dalam kelas tari aku, antaranya seperti, Mira Amnas, Kris Cempaka, Leyla Krisya, Raffamie Karama, Fizi Ali dan Yuzwan Yunus. Namun yang menjadikan Rosa lebih teruk adalah kerana dia memegang watak utama dan ianya berlaku pada minggu perkenalan. Walaubagaimanapun mereka yang paling menonjol di dalam kelas tari adalah seperti Ku Hariz, Bil Azali, Livonia, Afiq Meadin dan Lia Natalia, selebihnya sekadar biasa-biasa saja. Segmen pembukaan pada minggu itu juga biasa-biasa saja.




Minggu kedua dengan teater Aku Nak Jadi Popular tidak banyak melibatkan gerak tari, sebaliknya aku lebih menguruskan gerak fizikal mengikut mood lagu. Ini rentetan daripada minggu pertama yang mengecewakan Mama Eirma terutama gerak tari mereka, maka jadilah si Rosa patung cendana sebagai denda atas kelemahannya pada minggu sudah. Minggu kedua ini aku tidak banyak memainkan peranan, aku dibantu oleh Lily kerana minggu ini aku terlalu sibuk dengan Penilaian Tahun Akhir (PeTA). Persembahan pembukaan pun kebanyakannya dikoreograf oleh Lily dengan tema masquerade. Minggu kedua ini membuka mata aku kepada Livonia, Afiq Meadin dan Ku Hariz.



Minggu ketiga menyaksikan persembahan pembukaan yang tidak terlalu menari, sebaliknya mempamerkan emosi serta ekspresi wajah dan bahasa tubuh. Minggu ini mereka kelihatan bagus, mungkin kerana mereka hanya perlu menari 4 kali 8 sahaja ragam tari sebagai finale kepada lagu pembukaan. Namun teater Dan Din Don agak menjengkelkan apabila lagu yang terselit seperti tidak sesuai dengan mood cerita, aku yang hanya mentimun terpaksa koreograf atas kehendak pengarah. Waima aku tidak gemarkannya. Minggu ini Livonia agak mengecewakan aku dan yang paling menonjol adalah Bil Azali, Afiq Meadin dan Shasha Alkhred.



Minggu paling kalut dengan tema hantu mengisi ruang minggu keempat. Minggu yang paling aku benci. Persembahan pembukaan dipanjangkan sehingga hampir 5 minit, yang mana kebiasaannya kurang dari 2 minit. Yang sedihnya lagu pembukaan ini bertempo laju serta groovy, yang merangsang untuk menari dan bergerak, maka aku terdorong untuk mencipta gerakan-gerakan yang agresif yang bersesuaian dengan tema minggu ini lantas ini menyebabkan mereka semua menari dengan sangat teruk!. Malahan aku juga dimarahi!. Namun yang paling menonjol pula pada minggu ini ialah Nur Jannah.



Entah apa pula yang akan menyusul menggertak aku pada minggu seterusnya. Aku harap aku tidak akan berpatah hati dengan mereka. Sekarang tinggal 11 peserta. Siapakah yang bakal menerobos ke pentas akhir? Aku harap, enam orang tersebut adalah mereka yang mampu menari dan menjadi performer yang hebat. Bukan sahaja boleh berlakon dan menari, malah berpenampilan menarik, berpersembahan hebat, beratitud serta berdisiplin.




Friday, January 7, 2011

Satu Hingga Sembilan

Assalamualaikum wbt,

Kali ini aku ingin berkongsi maklumat berkenaan karya yang pernah aku hasilkan selama aku bergelar pelajar jurusan senitari di ASWARA. Daripada itu aku telah mendapat suatu perkara yang sangat menarik bagi aku untuk aku kongsikan. Mari kita lihat susunan karya aku ini:


Atlas

Tarikh & Tempat Pementasan:
13 Disember 2008 : Black Box ASWARA
19-21 Februari 2010 : The Actors Studio Lot 10

Penari:
Yunus Aliallah
__________________________________________________


Pedra Blanca Si Batu Puteh

Tarikh & Tempat Pementasan:
19-21 Februari 2010 : The Actors Studio Lot 10

Penari:
Naim Syahrazad
Khairi Mokhtar
__________________________________________________


Salasata

Tarikh & Tempat Pementasan:
19 & 20 April 2008 : Black Box ASWARA
7 - 12 Julai 2008 : Panggung Eksperimen ASWARA

Penari:
Naim Syahrazad
Hazri (Zick)
Eddy Sham (kali pertama)
Azizi Mansor (kali kedua)
_________________________________________________


BENDERA

Tarikh & Tempat Pementasan:
15 Disember 2010 : Panggung Eksperimen ASWARA

Penari:
Suhaib Daud
Taufek Husin
Fitri Hiswady
Michael Ballock
__________________________________________________


Engino Tekniko

Tarikh & Tempat Pementasan:
6 - 8 Disember 2006 : Panggung Eksperimen ASWARA

Penari:
Suwandy Paiman
Anas Firdaus
Liu Yong Sean
Faillul Adam
Nazri Zahauddin
__________________________________________________


The Curse

(tiada gambar dan maklumat lengkap)

Tarikh & Tempat Pementasan:
Mei 2006 : Studio Tari 3 ASWARA

Penari:
Akmal Ayob
Lakshman Balakrishnan
Nazri Zahauddin
Liu Yong Sean
Arina Hamzah
Hazra Ghazaly
__________________________________________________


Sapta Purnama

Tarikh & Tempat Pementasan:
14 Disember 2010 : Panggung Eksperimen ASWARA

Penari:
Ruby Wahid
Illa Nurila
Josephine Yeong
Nadhirah Razid
Woo Yan Teng
Fatin Nabylah
Athilia Mazlan
__________________________________________________


Wal - A'shr

Tarikh & Tempat Pementasan:
13 Jun 2007 : Panggung Eksperimen ASWARA

Penari:
Naim Syahrazad
Hazri (Zick)
Eddy Sham
Liu Yong Sean
Arif Nazri
Fairul Zahid
Raymond Liew
Gloria Patie
__________________________________________________


Satelite Zapin

Tarikh & Tempat Pementasan:
16-19 Mac 2006 : Auditorium Tunku Abdul Rahman MTC

Penari:
Akmal Ayob
Lakshman Balakrishnan
Nazri Zahauddin
Anas Firdaus
Liu Yong Sean
Lee Wen Yan
Hazra Ghazaly
Janet Moo
Baizura Abd Ghani
__________________________________________________


Apa yang dapat disimpulkan di sini ialah jumlah penari yang pernah aku gunakan untuk menari di dalam karya aku adalah tidak sama, malahan daripada sembilan karya yang pernah aku hasilkan, setiap satu mempunyai bilangan penari yang berbeza, iaitu daripada satu hingga sembilan. Menarik tak? (biasa je....)

Wassalam

Thursday, January 6, 2011

Al - Fatihah


Jika arwah ayah aku masih hidup, hari ini tanggal 6 Januari genaplah 59 tahun usia beliau. Selamat Hari Jadi Baba. Akmal sayang baba, Akmal rindu baba..




Arwah ayahku yang tercinta Ayob Tamrin



Semoga rohnya berada di tempat orang-orang yang beriman dan beramal soleh

AL FATIHAH

Sekadar Meluah

Assalamualaikum wbt,

Agak lama aku tidak mengemaskini blog aku, ironinya ramai juga yang bertanya tentang itu. Tak sangka pula ramai yang mengikuti blog aku sama ada secara nyata atau dalam diam. Namun kali ini aku minta maaf kerana aku terpaksa menjadikan entri kali ini sebagai medium aku untuk menulis perihal aku.

Kelmarin, tanggal 4 Januari 2011 merupakan hari yang agak mencabar aku. Ia bermula dengan mata kiri aku yang tiba-tiba gatal dan kemerah-merahan pada malam sebelumnya namun setelah aku bangun dari tidur mata aku tak boleh buka dan dipenuhi dengan tahi mata! Oh tidak! Konjunktivitis!!!! Tahun baru ini mengorak langkah dengan suram dan kusam. Semua gara-gara program Pilih Kasih 2. Aku masih belum menulis tentang aktiviti koreografi aku untuk program ini. Usah kata Pilih Kasih, PeTA pun belum berkesempatan aku coretkan.



Sepatutnya aku sudah dapat 50% bayaran aku sebagai koreografer untuk program ini, namun ianya telah dibekukan sementara waktu. Yang dapat aku telahkan adalah kerana “bos” aku mungkin marahkan aku atau mungkin terasa hati dengan aku kerana aku tiada sewaktu full run satu malam sebelum pementasan. Yang menjadikan dia marah sangat adalah kerana budak-budak yang aku ajar tersebut telah menari dengan teruknya (aku betul-betul maksudkannya). Kalau mereka menari dengan teruk, adakah aku sebagai gurunya harus dipersalahkan? Adakah kerana satu jangkawaktu yang aku tiada menyebabkan mereka teruk?

Yang sedihnya ada di kalangan mereka bukan sahaja tidak boleh menari, malahan tidak tahu tempo serta tidak kenal lagu. Bukannya aku berikan koreografi seperti PeTA aku, cuma gerak ke kanan dan ke kiri, malahan lebih mudah berbanding gerakan poco-poco.

Aku bukannya terlalu menghadap sangat bayaran tersebut, tetapi apabila kedengaran bayaran aku “dibekukan” seolah-olah mencemar nama baik aku. Pastinya mengundang pertanyaan kenapa ia berlaku? Adakah aku tidak melaksanakan tanggungjawab aku? Aku hanya mampu menyuapkan, tak mampu aku telankan untuk mereka.

Sedari awal lagi sudah aku khabarkan yang aku perlukan latihan tiga kali seminggu, mengenangkan yang mereka semua bukannya penari. Bayangkan, untuk persembahan pembukaan sahaja setiap minggu mereka perlu menari sekurang-kurangnya madley empat lagu, belum lagi lagu dalam segmen teater yang lazimnya empat ke lima buah lagu. Aku bukan koreografer yang akan membuat gerakan tari yang sama untuk kesemua lagu, jika boleh pun lagu tersebut berlainan tempo, mood dan genre.

Lebih mendukacitakan lagi, latihan aku yang kebiasaannya dua kali seminggu iaitu pada hari Rabu dan Khamis jam 8 malam hingga 12 malam ini seringkali diganggu oleh beberapa krew serta pengurusan busana yang kerap mengambil peserta serta mencuri tumpuan peserta. Malahan CD lagu yang perlu aku koreograf sampai ke tangan aku tepat jam 8 malam hari Rabu tersebut. Bilakah masa untuk aku membuat homework lagu serta skrip tersebut?

Kadangkala kebanyakan orang memandang remeh peranan koreografer. Tahukah kalian bahawasanya peranan koreografer adalah lebih penting dan rumit berbanding seorang pengarah teater? Kerana itulah seorang koreografer mampu menjadi pengarah teater, namun seorang pengarah teater belum tentu mampu menjadi seorang koreografer (bukan sekadar omongan, terdapat beberapa kes yang tidak perlu disebutkan).

Di dalam program ini, orang yang terlibat dalam bidang pengarahan teater adalah seramai empat orang dan bahagian koreografi pula hanya seorang sahaja. Bukan mahu berkira, namun ingin aku undang rangsangan minda. Logikkah? Aku sekadar meluah..


p/s : Semua kata nama khas yang disebutkan bukan nama sebenar, tiada kena mengena dengan yang hidup mahupun yang sudah tiada. Jika terdapat persamaan hanyalah satu kebetulan.