Friday, October 22, 2010

what matters most is how you see yourself


Assalamualaikum wbt,

Aku hormat dia sebagai pensyarah aku, tapi kalau dia sendiri tak hormat aku sebagai pelajar dia mahupun penggiat seni, apa yang perlu aku lakukan? Sedang aku sibuk dan tertekan mengharungi perjalanan getir ke destinasi PeTA, seharusnya dia sebagai pensyarah memberi nasihat mahupun semangat, bukannya menghina dan mencaci aku di hadapan orang lain. Apa yang dia lakukan ini menunjukkan ketidakprofesionalan dia. Malahan cemuhan tersebut bukan sahaja terhadap aku bahkan juga terhadap rakan seperjuangan aku. Kiranya dia mengkriktik aku kerana karya aku, aku masih boleh terima, walaupun aku tak pernah suka karya dia dan dia pun bukanlah seorang koreografer mahupun pensyarah atau cikgu yang bagus. Tetapi dia mengkritik aku seadanya. Walhal di depan aku, pijak semut pun tak mati.

Dengarlah sini wahai Wong Kit Yes, janganlah menghina orang lain sebagaimana yang kau sering lakukan, cermin diri kau dulu sebelum mencerca orang lain. Kita semua manusia, berak sama busuk, mati sama busuk. Tak kira apa bangsa kita, apa agama kita. Yang membezakan kita hanyalah ilmu dan amalan kita, namun kiranya kau punyai ilmu namun cara kau amalkannya ke jalan yang tidak betul, tiada istimewanya kau. Paling menyedihkan apabila kau merasakan kau berilmu dan kau mengamalkannya sebaik mungkin. Sedarlah diri sebelum terlewat, walaupun usia kau sudah senja, namun belum menjengah ke malam lagi. Janganlah bangga dengan sebelah mata kau sekiranya yang lain buta...

Thursday, October 21, 2010

pratonton peta ke-3

Assalamualaikum wbt,

Berlalu sudah pratonton PeTA ke-3 yang merakamkan durasi selama 5 jam 10 minit. Berbeda kali ini, acara dimulakan sedari jam 2.15 minit petang dengan dikepalai oleh persembahan 4 penari Bhratanatyam secara individu yang mana mencuri masa terluang serta merampas fokus penilai dari awal. Kali ini giliran aku tercampak ke angka 15 dan 18 iaitu kedua terakhir sebelum Azmi dengan site specificnya.

Semua pelajar diminta berkumpul di studio tari utama dan wajib menonton pratonton ini, aku yang agak terlewat tiba di ASWARA kegopohan memberi penari-penari aku kostum untuk dipakai, malangnya aku tak sempat membuat latihan terakhir kerana tiada sesiapa dibenarkan berlatih. Namun dek kerana terlalu lama masa menunggu aku sempat mencuri waktu berlatih bersama semua penari termasuk Ruby yang sudah tiba daripada kelas wajib akademi yang tamat jam 4 petang. Walaupun aku agak kurang berpuashati dengan apa yang mereka lakukan, namun aku gembira kerana isi yang aku ingin tunjukkan terlihat.

Ketika Sapta Purnama mengambil tempat, ramai penilai tiada, malangnya ada yang rancak berbual sesama sendiri sehinggakan ada yang sibuk bersosial dengan komputer riba. Timbul perntanyaan, apa guna pratonton dipertonton, namun penonton tidak menonton? Lebih malang lagi, tatkala BENDERA memasuki ruang, Cuma hanya ada 3 orang sahaja penilai yang kelihatan tidak acuh menontonnya kerana masa fokus sedari awal telah susut dek kerna masa yang lama diperuntuk.

Apa-pun aku hanya perlu menanti hari esok sebagai penentu penilaian mereka terhadap karya aku. Tertanya juga, bagaimana mereka hendak mengkritik prakarya aku ini sedangkan tatkala dihidang, juadah tidak disantap sempurna.

Thursday, October 14, 2010

Resmi padi, makin tunduk makin berisi.

Assalamualaikum wbt,

Ikut resmi padi, makin tunduk makin berisi, tunduk sebab malu, badan makin berisi.. huhuhu.. bukan tu topik utama. Selepas selesai kelas Prof Anis buat pertama kalinya pada hari Rabu, aku terfikir banyak benda, malah kesemuanya mencabar kewibawaan aku dan keangkuhan aku. Betapa hinanya aku, betapa ceteknya pengetahuan aku di dalam dunia tari ini. Terpacul soalan mudah dari mulut Prof Anis, hanya gagak yang berbunyi (bak kata Lex).

Terkadang rasa seperti malu memegang nama pelajar tahun akhir Ijazah Senitari (Koreografi). Lantas aku tercuit, bagaimana laluan aku selepas ini? adakah sukar? atau mungkin mudah. Namun apa yang aku inginkan setelah meniti perjalanan itu?

Latihan PeTA aku hari ini meluang masa buat "BENDERA". Iaitu karya bagi segmen bebas. Latihan yang dijanji jam 7 petang, bermula jam 8 malam. 2 penari ada latihan carma, seorang lagi ada kelas dan tinggallah "sang adik bongsu" yang setia menunggu. Aku tak salahkan penari yang lambat hadir, malah aku berterima kasih kerana mereka sudi membantuku. Namun hari ini aku "stuck". Betapa kecilnya pemikiranku ibarat "menari dalam kotak", kerana beku otak aku tanpa dapat mencetus idea yang menarik bagi karya ini. Tak pasti mana silapnya. Sehingga aku memanggil Fairuz melihat hasil yang kurang dari 1 minit itu maka tersimpullah satu ikhtisar.

Dekan pernah berkata, karya-karya aku sebelum ini membanggakan, namun kali ini dia seperti tidak nampak apa yang cuba aku sampaikan. Jika dilihat sebelum ini, kebanyakan karya aku yang mungkin membanggakannya terhasil kerana "aku hendak lakukannya" atau demi persembahan atau demi berkarya bukan kerana "kena lakukan" atau dinilai. Jadi untuk kali ini apa yang menyebabkan aku "stuck" adalah kerana tiada kebebasan sama ada kebebasan berkarya atau kebebasan untuk melakukan apa yang kita hendak lakukan. Jika dilihat sebelum ini, Alhamdulillah, aku sering dianugerahi dengan magis yang menyebabkan karya aku terkadang tak dilepas pandang walaupun dicipta pada saat terakhir. Namun mungkin kerana terlalu meluangkan masa terhadap karya, menyebabkan aku terlalu berfikir sehingga sukar untuk melafaz dari hati, tapi lebih kepada pelafazan otak kerana apa yang aku lihat terhadap karya aku adalah tidak penting, sebaliknya apa yang dilihat oleh penilai adalah jauh lebih penting.

Yang lebih memilukan, aku lebih memikirkan hendak menunjukkan sesuatu untuk previu
berbanding memikirkan apa yang aku nak tunjukkan sewaktu PeTA. Maksudnya, dengan material dan seksyen yang sudah siap tanpa mengikut kronologi cerita, aku terpaksa menyusunnya mengikut kesesuaian semata-mata untuk ditunjukkan sewaktu previu. Lagi pedih apabila komen yang diberi adalah "tak nampak", "tak jelas" dan "tak tau apa yang awak cuba sampaikan". Fenomena ini sebenarnya terjadi kerana kita terpaksa tunjukkan perkembangan karya setakat mana. Jadi, untuk memahami "content" karya, maka hendaklah tunggu sehingga karya tersebut siap sekurang-kurangnya 85%. Maka tatkala itu barulah penggunaan ayat seperti "tak nampak", layak digunakan.

Berbalik kepada tujuan, sebenarnya previu sekadar melihat kemajuan, bukan melihat keberkesanan mahupun keberjayaan isi. Maka apabila aku sering disogokkan dengan tarikh pratonton, maka berlakulah kekangan dalam melafaz persembahan. Sebaik-baiknya biarlah aku berkarya kerana hendak berkarya bukan kerana previu PeTA atau dinilai, tapi apabila pihak pemerhati memberi provokasi, maka lihatlah ketidakikhlasan dalam karya tersebut. Biar kita dikata tidak bijak, jangan kita berlagak bijak. Biar orang tahu kita bijak, jangan beritahu orang yang kita bijak. Ikutlah resmi padi...

p/s seni adalah medium ekspresi diri kita, bukan org lain, jika mereka yang nak berekspresi, berkaryalah....

Tuesday, October 12, 2010

pratonton peta ke-2

(post yang aku tak post tersimpan je dalam draft)

Assalamualaikum wbt,

Setelah empat hari berlalu, aku nekad untuk mengemaskini blog ini dengan ceritera pratonton kedua PeTA. Sekiranya aku memperlekehkan waktu, nescaya apa yang terpendam di benak ini tak mungkin termuntah dengan tulus. Selagi bara masih kelihatan, adalah lebih baik aku hamburkan di sini agar kepuasan diri tercapai tanpa membukukan perasaan di hati.

Perjumpaan jam 3 bagi menentukan giliran pratonton tidak aku hadir kerana masalah masa. Namun aku telah maklumkan pada Arif terlebih dahulu yang aku dengan rela hati ingin mengambil giliran pertama berikutan penari aku yang perlu meminta diri awal kerana mempunyai hal lain. Waima aku telah menegaskan kepada penari-penari aku yang aku mahu mereka membatalkan segala aktiviti mereka pada tarikh pratonton akan diadakan dan tarikh tersebut telah ditetapkan, namun sebenarnya tarikh tersebut telah bertukar dari 14 September 2010 ke 21 September 2010. Jadi aku tidak punya kudrat untuk menghalang aktiviti penari-penari aku atas alasan tarikh pratonton telah ditunda.

Mengikut perbincangan dan undian awal, aku mendapat giliran pertama, namun pensyarah mempunyai kuasa autokratik untuk menentukan siapa yang berhak memulakan pratonton tersebut. Lantas, Sufinah terpilih membuka tirai petang tersebut sekaligus menjadikan karya aku jatuh ke giliran kedua. Sufinah memulakan langkah dengan solo Rantak dan Barabahnya, diikuti dengan tempur silat bersama Faliza. Seterusnya karya kontemporari James mengambil tempat. Penari aku, Suhaib, adalah salah seorang yang membantu Sufinah dalam kerya tersebut. Menurut senarai yang dikeluarkan oleh Arif, koreografi bebas aku mendahului giliran berbanding koreografi tradisi, bermakna Suhaib akan kepenatan tatkala mengambil giliran bagi mempertontonkan “Bendera”. Memandangkan Taufek pun masih belum tamat ujian Terinainya di studio tari tahun 3 (walupun sudah melebihi waktu kelas), aku membuat keputusan untuk menghidangkan “Sapta Purnama” dahulu kepada pensyarah-pensyarah.

Dikalangan mereka yang duduk di atas kerusi sambil menonton pratonton ini adalah 3 orang asing yang tidak pasti sebab musababnya kehadiran mereka, namun itu bukan persoalannya. Pratonton masih diteruskan walaupun seorang yang amat penting untuk menonton hadir lambat, aku tertanya-tanya juga bagaimana “seorang” itu hendak memberikan pandangan tanpa menonton effort pelajar?

Tatkala Sapta Purnama mengambil ruang, aku diajukan soalan, nama dan definisi tajuk karya aku (sedangkan telah aku berikan jadual serta tajuk kepada pembimbing aku di awal semester dahulu, malahan di dalam pembentangan idea koreografi juga aku telah nyatakan tajuk karya serta definisinya, adakah mereka tidak mengendahkannya atau buat-buat lupa?).

Secara jujur di mata koreografer, Sapta Purnama berlangsung dengan baik, namun sedikit longgar di pengakhiran presentasi. Namun kepuasan terpancar pada riak wajahku atas kerjasama bersungguh para penari. Cuma Bendera sedikit mengecewakan, namun aku redha kerana ianya masih mentah, apatah lagi masih berbentuk material asas yang belum berstruktur. Durasi Sapta Purnama hampir mencecah 8 minit, manakala Bendera kurang dari 2 minit.

Karya pelajar lain mengambil tempat tatkala aku sudah suam gara-gara kehilangan gemuruh sedari awal walaupun ruang tersebut agak dingin mencucuk sum-sum. Melihatkan hasil tangan dan perahan otak rakan-rakan, terdetik di hati aku, pratonton kedua juga sudah memperlihatkan “sesuatu”, bagaimana pula pada hari sebenar. Acara selesai dengan karya A.Aris melabuhkan tirai tanpa aku sempat menontonnya kerana kelas Kesenian dan Undang-Undang telah bermula. Tiada sebarang telahan dalam hati mengenai komen keesokannya. Aku masih mampu tidur nyenyak tanpa membimbangi hari mendatang.

22 September 2010, memulakan hari di Aswara dengan pembentangan Bab 4 penulisan ilmiah oleh satu-satunya pelajar yang dibenarkan untuk berbuat demikian iaitu Azmi. Aku tak gemar menyentuh perihal ini ketika ini, jika tidak, meleret keluhan aku sehingga jumlah perkataan post ini menyamai bab1 hingga bab 3 penulisan ilmiah aku. Baik aku teruskan ke sesi komen pratonton kelmarinnya... tapi..