Monday, February 28, 2011

Feseni UM 2011


Assalamualaikum wbt,


Semalam aku ke Universiti Malaya dengan penuh semangat dan harapan untuk menyaksikan pertandingan tarian rampaian asli antara kolej kediaman. Dengan membayar RM 3 untuk harga tiket aku duduk di bahagian bawah dan belakang DTC. Satu persatu kumpulan mengambil giliran di pentas, seiring itu juga satu persatu persoalan berlegar di fikiran aku sehingga menyebabkan aku tak mampu lagi bertahan di situ lantas aku mengangkat punggung beredar dari situ...

Saturday, February 26, 2011

Terima Kasih Cinta

Assalamualaikum wbt,

Terima Kasih Cinta merupakan naskah Nizam Zakaria yang diadaptasi oleh Pat Ibrahim selaku pengarah dan juga koreografer serta Megat Shahrizal sebagai penolong pengarah daripada filem popular iaitu Cinta yang menyulamkan lima kisah cinta ke dalam sebuah ceritera. Pementasan muzikal ini mendapat sentuhan Roslan Aziz yang pernah menerajui Teater Puteri Gunung Ledang dan P.Ramlee the Musical sebagai pengarah muzik serta buah fikiran Raja Maliq sebagai penata seni. Pementasan yang berlangsung di Panggung Sari Istana Budaya ini mengambil ruang bermula 19 Februari sehingga 6 Mac 2011.

Muzikal ini menampilkan 11 pelakon utama serta 21 orang pelakon pembantu merangkap ensemble. Setiap pelakon utama memegang watak yang wujud di dalam filem Cinta manakala ensemble di dalam muzikal ini kelihatan sekadar pemeriah suasana, namun peranan ensemble kelihatan penting di dalam act 1. Mereka umpama penglipurlara yang memperkenalkan pelakon utama serta menjadikan garapan penceritaan awal agak dinamik. Kesepaduan suara ensemble begitu utuh dalam pengucapan dialog serta melagukannya. Namun peranan sebegini semakin kurang setelah masuk ke act 2. Safura yang memegang watak Rubiah, empunya restoran kelihatan begitu yakin dengan awal perkenalan wataknya, lakonannya tidak dapat disangkalkan lagi, sangat optimum. Malahan tidak sama sekali terbayangkan Fatimah Abu Bakar. Pengucapan dialognya jelas serta tulus, terkadang terasa dekat di hati setiap bibit-bibit yang meniti dibibirnya. Emosinya tak putus tatkala menyanyikan dialognya, kerana lagu-lagu yang dinyanyikan benar-benar dimaksudkan. Gandingannya dengan pelakon veteran Latif Ibrahim sebagai Cikgu Elyas yang menghidap penyakit alzheimer kelihatan sangat serasi. Terkadang kelihatan Latif Ibrahim agak semput, namun nyanyiannya begitu meyakinkan dan sangat kuat unsur muzikalnya. Kedua-dua watak ini sebenarnya tidak menonjol, namun gandingan mereka menjadikan kisah cinta mereka amat menarik. Diddy Hirdy pula datang sebagai Amin, cucu kepada Cikgu Elyas, masih banyak yang perlu diperbaiki dari segi mutu lakonan, nyanyiannya pula tidaklah begitu hebat, sebaliknya baik-baik sahaja, mujurlah ton lelakinya begitu kuat, maka terpadam sudah kelemahan yang lain.

Nadia Aqilah sebagai Ariana merupakan gadis dari Johor Bharu yang mencari teman lelakinya Khalif, namun bertemu dengan Vince Chong sebagai Taufiq di Kuala Lumpur. Nadia kelihatan sangat manja namun tidak kebudak-budakan tetapi masih matang sebagai Ariana, manakala Vince mengambil watak nerd kelihatan seperti terlalu dibuat-buat. Vince menampakkan ketidakserasian antara watak tersebut dengan karektornya. Tidak dinafikan terlihat usahanya yang bersungguh membawa watak itu namun kesannya tidak begitu terasa. Gandingan mereka berdua belum menampakkan persefahaman lagi. Nadia banyak mengambil nyanyian-nyanyian sebagai penerus penceritaan emosinya serta kelihatan begitu bersahaja dan sangat ikhlas dalam penyampaian lagu, projeksinya juga bagus apatah lagi langkah tarinya begitu meyakinkan, namun terkadang kelihatan Nadia terlalu banyak bergerak tatkala mengucapkan dialog. Tidak pasti sama ada pengarahannya sebegitu atau improvisasi sahaja, namun ia agak merimaskan. Vince yang menyimpan nyanyiannya untuk act 2 benar-benar menempelak tenaga ke penonton. Lagu Sekian Lama itu dinyanyikan penuh emosi dan benar-benar dimaknakan. Nyanyiannya adalah yang terbaik sepanjang pementasan malam itu, malangnya tatkala menyanyi wataknya berubah daripada nerd kepada penyanyi yang teknikal.

Cinta Airin lakonan Norish Karman dan Haris oleh Tony Eusoff dilihat seperti konflik tipikal rumah tangga. Lakonan mereka seperti bukan suami isteri, kelihatan seperti tiada apa-apa namun yang mengikat mereka hanyalah kanak-kanak yang menjadi anak mereka. Mereka seperti tidak serasi, mungkin kerana kisah mereka merupakan hujan di tengahari, namun “cinta” itu lebih wujud di antara anak mereka dengan setiap daripada mereka. Norish mempunyai masalah di dalam pengucapan dialognya. Setiap tutur katanya seringkali kedengaran angin kerana tabiat tutur dialognya yang acapkali berbisik. Sehinggakan jurang paras kelantangan vokal setiap pelakon adalah jauh. Tidak semua kata-kata perlu dibisikkan walaupun tatkala beremosi sedih, waima memakai mikrofon sekalipun. Jika dinamakan teater, maka lontaran vokal merupakan elemen penting dalam mendukung sebuah pementasan teater. Tony pula kadang kala kurang jelas artikulasinya, mungkin kerana beliau khusyuk menari sehinggakan semput berdialog, namun pujian wajar diberikan pada nyanyiannya yang sangat muzikal serta lantang. Emosi nyanyiannya juga seiring dengan penceritaan walaupun secara tiba-tiba lagu Sejati mengambil tempat dengan susunan muzik baru. Namun dalam kisah cinta antara Airin dan Haris yang benar-benar merenggut hati penonton adalah peranan anaknya, Melly.

Shajiry Damery sebagai Azlan yang cuba memikat Azura, lakonan Farahdhiya agak tidak secocok. Masing-masing kelihatan berusaha keras menjadikan watak masing-masing menarik dengan mengenepikan kerjasama jalinan hubungan watak mereka. Memang mereka kelihatan menonjol, namun sebagai individu, tetapi bukan sebagai pasangan. Shajiry di dalam lakonannya menampakkan kerja keras, seperti cuba meraih perhatian penonton, namun ianya tidak kelihatan tatkala dia digandingkan dengan Tony dan Deja. Mungkin paras tenaga serta projeksi yang dilontarkan oleh Farahdhiya tidak seimbang dengannya makanya terlihat watak Azlan kelihatan muda dan tak matang. Langkah tari Shajiry agak baik dan masih boleh diperbaiki, begitu juga dengan nyanyiannya, namun yang menarik, sut merah jambu memang cocok dengannya, menampakkan Shajiry kelihatan hebat di pentas. Farahdhiya pula perlu lebih memahami wataknya sebagai Azura, kerana sedari awal lagi penonton agak keliru sama ada Azura cintakan Azlan ataupun tidak, tiba-tiba bersedih dengan lagu Janji Manismu. Nyanyiannya juga sangat mempesona, namun lontaran vokal nyanyiannya pergi lebih jauh berbanding lontaran dialognya. Jika nyanyiannya oleh Azura, bukan Farahdhiya, pasti lebih menerkam jiwa

.

Hubungan kasih sayang antara kakak dan adik lakonan Deja Moss sebagai Dyan dan Anding Indrawani sebagai Dhani antara kisah yang meruntun jiwa. Pemahaman hubungan itu benar-benar wujud antara mereka. Kisah mereka berdua adalah puncak segala cinta iaitu pengorbanan. Pertengkaran serta pergaduhan adik beradik memanglah normal namun disebalik pertelingkahan dan bertegangan urat itu masih wujud cinta dan kasih sayang antara keduanya. Babak inilah yang paling berkesan di dalam keseluruhan teater ini, namun satu bahagian yang agak lemah di sini adalah skrip sewaktu pertelingkahan itu agak kekok bunyinya seperti tiada kena-mengena dan agak hentam kromo. Anding sebenarnya tidaklah baik lakonannya, namun watak itu memang serasi dengannya, tambahan pula Anding memanag sangat bijak menari maka tertutup sedikit kelamahan itu, nyanyiannya juga agak baik, namun setiap permulaan nyanyiannya masih lagi tercari-cari not pertama. Lakonan Deja pula baik juga, tetapi intonasi kadang-kadang tidak tepat. Perkataan yang tidak patut ditekankan seringkali diberi penegasan. Nyanyiannya pula sangat teknikal, begitu menarik jika dibuat konsert, sayangnya ini merupakan pementasan teater, nyanyiannya kedengaran sangat tidak serasi dengan pengucapan dialognya. Tatkala babak sedih sewaktu Dyan hendak mendermakan buah pinggangnya, tiba-tiba Deja menyanyikan lagu Berkorban Apa Saja dengan gaya dan emosi yang agak bersemangat, maka terputus sudah emosi sedih itu

Keseluruhannya terdapat tiga perkara yang menarik minat saya di dalam pementasan ini, pertama kod warna kostum. Act 1 menampilkan latar putih bagi ensemble dan hitam bagi act 2. Peranan hitam putih oleh ensemble ini dilihat seperti gambaran hitam putih kehidupan manusia, tambahan pula mereka juga menjadi penyokong cerita serta penglipurlara. Sesekali terlihat seperti bayang-bayang wayang kulit yang mendokong cerita-cerita wayang. Kod-kod warna ini juga menggunakan teori semiotik lantaran wujud interpretasi bagi setiap kisah percintaan ini. Hubungan Arianna dan Taufiq bertemakan hijau sangat subur seperti mekarnya pepohonan rimbun. Sangat suci dan tulus, walau terpalit dosa, namun kerana cinta, sucilah segala sengketa. Oren melatari cinta Airin dan Haris, warna panas ini menghangatkan konflik rumahtangga mereka, ironinya selepas berpisah, Haris menutup kemeja orennya dengan sut hitam sekaligus menjadi penanda penamat hubungan. Azlan dan Azura diwarnai dengan merah jambu yang agak gatal dan manja, atau mungkin buaya darat. Kuning ibarat cahaya matahari yang memberi sinar harapan kepada kehidupan baru buat Dhani setelah menerima buah pinggang daripada Dyan. Manakala biru melambangkan perpaduan, kesatuan tanpa batas usia, biru juga warna senja yang sejuk tanda kebahagiaan di hujung hayat.

Kedua, set yang sangat praktikal. Ketepikanlah kemampuan Panggung Sari buat seketika. Tiga kiub besar yang membentuk enam kubus dua tingkat ibarat televisyen yang memaparkan kisah masyarakat. Diserikan dengan lampu kalimantang putih, sangat mengujakan walaupun gerakannya hanya ke hadapan dan ke belakang sahaja. Setiap blok berperanan dan digunapakai sepenuhnya, walaupun segmen menari kadang kala menguji keutuhan binaan itu.

Yang terakhir ialah keseimbangan serta kesepaduan vokal berkumpulan di dalam nyanyian. Jika ditanya apa yang paling istimewa di dalam teater ini, saya akan katakan bahawa vokal ensemble merupakan kekuatan teater ini, walaupun selalunya peranan ensemble sering di perlekehkan, namun tiada ensemble maka tidak bermaknalah sesebuah pementasan teater muzikal. Setiap nyanyian yang melibatkan korus, sebulat suara, seimbang, harmoni serta tebal bentuk nyanyian yang dilontarkan. Yang menariknya, sekalipun dalam tari dengan koreografi Pat yang seringkali complicated, mereka masih menyanyi dengan harmoni. Tahniah buat semua tenaga kerja Terima Kasih Cinta.

Wednesday, February 16, 2011

Pilih Kasih Minggu ke-11 (Akhir) : Broadway dan Muzikal

Assalamualaikum wbt,

Minggu ini penuh tekanan buat semua, tapi aku rasa akulah yang paling tertekan (agaknya). Kalau dah namanya teater muzikal, semestinya koreografer yang paling berperanan utama, apatah lagi apabila muzikal tersebut nyanyiannya hanya miming sahaja. Semalam aku baru sahaja menerima 3 buah lagu yang dikatakan komposisi baru. Sepanjang latihan yang bermula jam 8 malam di Auditorium P.Ramlee, Wisma Radio RTM Angkasapuri itu sehingga jam 12.40 minit malam itu aku hanya sempat menyiapkan sebuah lagu sahaja iaitu lagu Semester, lagu pembukaan kepada segmen teater. Bukan kerana kelembapan otak mencipta tari, sebaliknya masa banyak diperuntukkan kepada mengajar dan melatih semua ketujuh-tujuh artis untuk menari. namun kepuasan jelas terpancar di wajah semua kerana masing-masing sudah memahami peranan dan sudah menari sebaik mungkin (walaupun ada gerak yang sangat pantas dan mereka masih belum menguasainya).

"Set teater muzikal Inspirasi Kasih"

Hari ini aku dapat lagi lagu yang baru, sedangkan lagu Gali dan Sentap masih belum dikoreograf lagi. Aku datang latihan jam 2 petang di Istana Budaya dan mengharungi masalah ketiadaan tempat latihan pula. Namun aku pergunakan sebaiknya senggang waktu yang ada bagi menyiapkan lagu kedua iaitu Gali yang disusun semula dengan gaya nyanyian yang lebih mengghairahkan (walhal aku rasa bukan ghairah sebaliknya sangat makcik-makcik).

"Gemuknya aku! bila nak diet ni? Susah nak dapat job kalau kimpah zaber ni"

Artistana Istana Budaya harus menerima pujian kerana bertindak profesional dengan menerima sahaja koreografi aku dengan pantas walaupun tak sempat untuk aku polish. Walaupun secara jujur mereka belum menguasai bentuk yang aku gambarkan, namun aku masih berpuas hati dengan perkembangan positif itu. Rasanya Abg Joe kena banyak bagi peluang kepada Artistana bekerja dengan koreografer-koreografer luar yang lain agar badan mereka lebih anjal dengan semua bentuk dan gaya koreografi lain. Walaubagaimanapun komitmen mereka sangat baik. 10 bintang buat Artistana Istana Budaya.

"Nasiblah penari wanita IB tinggi dan besar, taklah nampak aku macam gergasi"

Lagu keempat muncul dengan tempo laju iaitu lagu Orientasi. Jika aku diberi masa lima hari lagi, aku pasti mereka akan buat lebih baik dan semestinya koreografi aku juga akan lebih berkesan (alasan?). Yang pastinya latihan aku hari ini tamat jam 1 pagi. Adakah kerana passion atau keterpaksaan? Lagu pembukaan program pun tak dapat lagi, matilah aku. Aku harap minggu terakhir ini dapat membuktikan peranan koreogafer adalah amat penting di dalam sesebuah pementasan teater muzikal. Diharap penonton-penonton terhibur dengan persembahan teater muzikal Inspirasi Kasih minggu ini.

p/s kasihan Ku Hariz, dia yang paling banyak menari. Beb tak pe, ko memang ada bakat..

Monday, February 14, 2011

Pilih Kasih : Pratonon dan Sidang Media Pentas Akhir

Assalamualaikum,

Kelmarin selepas selesai Pentas Pilih Kasih minggu ke-10, mama Eirma datang jumpa aku dan memberitahu aku tentang task berikutnya. Yang pasti bukan untuk Pentas Akhir sebaliknya untuk pratonton sidang media sempena Pentas Akhir Pilih Kasih yang berlangsung hari ini. Acara ini akan diadakan di Restoran Seri Melayu jam 3 petang. Awalnya tertanya-tanya juga aku kenapa pula aku dipanggil, bukankah program ini hendak mencari pelakon? bukan penari? jadi apakah "tugasan tari" yang aku perlu lakukan? (Sambil menggaru kepala kerana kontrak aku tamat pada 12 Februari 2011, jangan marah haaa pengarah tersohor).

Aku tau, mama terkesan dengan persembahan pembukaan minggu ke-9 dengan tema Cinta. Walaupun dia kata "OKlah daripada tak de", walhal dalam hati meloncat terharu.. hahaha... Makanya untuk sidang media ini diputuskan untuk diadakan persembahan ala-ala seperti persembahan pembukaan tema Cinta itu. Puitaridra: iaitu Puisi, Tarian dan Drama. latihan diadakan jam 2 petang di IPPTAR semalam sehinggalah jam 6 petang. Hasilnya... Oklah daripada tak de...

"Macam aku inilah yang boleh jadi pelakon popular!
Dengan wajah yang cantik, badan yang mengiurkan, senyuman yang menawan..
Semua inilah modal nak jadi pelakon di Malaysia".

"Cantik aja kadang-kadang tak cukup..
Aku nak jadi pelakon yang berakal..
Otak ku bawa setiap kali ke mana aku pergi..
Untuk apa kalau cantik tapi otak macam tin kosong..."

" Jadi wajah seperti aku ni apakah kesudahannya?
Itu cakap orang tak faham seni!
Bukankah bakat pengukur kewibawaan seseorang.
Rupa dan wajah itu sekadar bonus sesebuah populariti".

"Ahhhhhhh... siapa kata aku miming!
Kau orang tak nampak aku bersungguh-sungguh menyanyi tadi?
Itukan juga satu lakonan..
Hebatkan.. kalian begitu yakin aku yang menyanyi!
Syyyyyy... reporter janganlah tulis...
Pandang ajalah aku ni macam Shah Rukh Khan..
Selama ini bukan dia pun yang menyanyi tapi semua orang gilakan dia.
Termasuk kau orang.."

"Takkan Tan Sri tak kenal saya?
Tan Sri produser ke?"

"Nasib baik aku tak de Dato' teringin nak kejar aku!
Hmmm inilah masalahnya dengan industri ni..
Moral dan kualiti diketepi!
Orang yang tak jujur merosakkan maruah seni.
Aku akan buktikan.. aku pelakon hebat..
Aku akan pastikan anugerah pelakon terbaik berada di dalam tangan aku!"

"Ohhhhhhh... Senang aja nak jadi pelakon hebat!
Kau kena jujur! Ikhlas dengan apa yang kau buat!
Jalan kau kena lurus..
Barulah rezeki yang kau dapat membawa berkat".

LIVONIA
JAY ISWAZIR
KU HARIZ
MIRA AMNAS
NUR JANNAH
LIA NATALIA
YUZWAN YUNUS..

Kalianlah pelakon yang bakal mewarnai indusustri seni.
Beribu manusia menginginkan bakat itu.
Kalian ada!
Peliharalah ia dengan sebaik-baiknya demi maruah insan seni kita....

Friday, February 11, 2011

Pilih Kasih Minggu ke-10 : Maulidur Rasul

Assalamualaikum wbt,

Salam Maulidurrasul buat semua umat Islam yang menghayatinya. Mungkin ada juga yang tidak tahu bahawa tanggal 15 Februari ini adalah hari Maulud Nabi kerana masing-masing sibuk menghitung tarikh 14 Februari. Alangkah indahnya menyambut hari kekasih, namun bagaimana pula dengan kekasih Allah? Dek kerana kesedaran inilah minggu ini perjuangan anak seni diteruskan dengan semangat keIslaman.

Setelah hampir satu jam aku duduk berbincang dengan Erma Fatima di rumahnya, banyak ketidakbiasaan akan dilakukan pada minggu ini, bukan kelainan apa, cuma keseriusan dalam tema kali ini dititik beratkan. Memandangkan teater minggu sudah seakan diperlekehkan oleh pengkritik. Maka kali ini kami harus mencabar para artis ini untuk membawa kisah berat di dalam teater bertajuk Rebahnya Seorang Abid. Selama ini pun bukannya tidak mahu diberikan naskhah serius kepada mereka, cumanya kerisauan pengarah terhadap kredibiliti para artis dalam menggalas tanggungjawab dipundak sebagai medium cerita. Mungkin seorang dua ada yang mampu, namun bagaimana pula dengan yang lain? setiap orang harus rata dalam memikul amanah ini.

Minggu ini mengingatkan aku kepada pengalaman aku bekerja sebagai koreografer di dalam Teater Muzikal Sirah Junjungan sekitar tahun 2008 dan 2009. Dalam menghasilkan "tarian" dalam konteks Islam ataupun pergerakan menurut batas-batas Islam sebenarnya tidaklah mudah, namun tidak pula sukar. Apatah lagi program swasta ini mendapat kerjasama dengan RTM yang sepenuhnya dibawah kelolaan kerajaan, makanya aku harus menepati garis panduan yang telah diberikan. Dahulunya di Istana Budaya, pihak Jakim datang menonton Sirah Junjungan sebelum pratonton sebagai lembaga penapisan.

Kali ini di dalam persembahan pembukaaan lagunya sahaja mencecah 9 minit. Dengan bertemakan Sirah Junjungan, monolog artis menceritakan rentetan peristiwa kelahiran Rasulullah SAW sehinggalah wafatnya baginda. Persembahan diiringi dengan enam orang penari dari Pewara Dance Theatre ini menggarap konsep pentomen dengan elemen drama. Sedikit sebanyak menyuntik keinsafan dan mencetus ingatan pada rasul junjungan. Gerakan-gerakan tari seperti melambangkan kelahiran serta kasih sayang sekadar simbolik dan begitu juga dengan himpunan lagu-lagu Shalawat serta tari Sufi sebagai pelengkap. Namun persembahan pembukaan ini hanya sebuah persembahan seni yang tidak jelas genrenya namun tepat pengisiannya.

Di dalam teater, koreografi lebih tertumpu kepada pergerakan para syaitan dan iblis. Yang susahnya gerakan sebegini adalah bentuknya lebih menjurus kepada improvisasi tubuh pelakon. Aku tidak mampu menetapkan gaya dan bentuk pergerakan ini, namun ianya menjadi mudah apabila penari yang melakukannya. Lia dan Mira agak tidak pasti dan tidak tahu bagaimana hendak bermain dengan emosi, ruang, paras, gestur dan olah tubuh. Minggu ini kak Erma seolah begitu tertekan sehinggakan aku menjadi mangsa amarahnya. Katanya koreografi paling teruk minggu ini, aku dikatanya mengelat dan tidak buat kerja. Mungkin juga ketiadaan penari menyebabkan kurangnya kesan terhadap watak iblis. Makanya begitu pentinglah peranan penari di dalam sesebuah pementasan teater atau muzikal.

Aku juga sedikit tertekan dengan tekanan yang diberikan sehingga minggu inilah minggu pertama aku datang menonton secara langsung. opss....


Sunday, February 6, 2011

Pilih Kasih Minggu ke-9 : Nyanyian Puisi Taridra + Rumah Sakit Jiwa

Assalamualaikum wbt,

Cinta cintakah.... Cinta bersemi... Kaukah mentari... Hadirmu mengakhiri deritaku ini...

Shasha membuka tirai persembahan pembukaan dengan puisi cintanya
"Aku ingin menjadi makmun kepada seorang imam"

Sempena hari memperingati kekasih maka wujudlah tema cinta (tidak bermakna kita meraikan valentines day). Minggu ini sangat puitis dengan menampilkan puisi-puisi indah dan ditarikan dan dilakonkan, maka terbentuklah sebuah persembahan yang sangat romantis. Saat aku mendapat tugasan ini, tersenyum aku, memang makanan aku. Aku dah bayangkan koreografinya, bagaimana langkah dan susun tarinya baik artis mahupun penari. Jadi sudah aku siapkan koreografi untuk artis, tinggal lagi perlu bergabung dengan penari. Minggu ini penari Pewara Dance Theatre yang membantu persembahan adalah seramai lapan orang. Memudahkan kerja tiba-tiba Fairuz menawarkan diri untuk membantu. Aku ibarat orang mengantuk disorongkan bantal. Lantas Fairuz membantu koreografi. Malangnya setelah jam menunjukkan tepat 12 malam, lagu terakhir iaitu lagu C.I.N.T.A belum lagi siap. Memang sedari awal lagi aku merasakan lagu ini agak tidak sesuai sebagai penutup, pertamanya kerana mood lagu tersebut dan tenaganya. Awalnya aku tidak faham kehendak Kak Erma namun sesampai sahaja di Senawang, aku terus menyambung koreografi untuk lagu ini yang pada aku agak kurang sesuai ditarikan.

Yang si Mira tu apahal?

Nak dijadikan cerita, aku minta Kak Erma pendekkan lagu akhir tu supaya tak anti klimaks, tanpa memberitahu aku tiba-tiba waktu persembahan secara langsung, lagu terakhir berubah dan tiba-tiba ada suara Anuar Zain... Kasih.......... Kan dah sasau si Ku Hariz dibuatnya. Nasib baiklah penari semua profesional..

Pujian buat Jay kerana menari tari kontemporari bersama penari ketika lagu
Mahakarya Cinta



Segmen teater pula tidak banyak koreografi yang ada. Aku sekadar membuat gerakan mudah untuk lagu Ana Rafali. Itupun masih ada yang polot! tak tau tempo, haih.. dah minggu ke-9 dah. Kemudian sedikit gerakan untuk Lia sebagai diva wannabe dan juga gerakan penari lion dance yang mudah, sambil dibantu oleh Jay). Jay pula aku beri sedikit gerakan yang menampakkan Indianya dia kerana wataknya dan sedikit ragam hindustan. Selebihnya hanyalah improvisasi artis itu sendiri, cuma aku yang menetapkan bentuk apa yang dikehendaki. Misalnya dalam lagu Goyang Inul, bahagian Mira Amnas, memang aku sudah tetapkan koreografi, malangnya dia sering lupa dan susah untuk pelajari, maka inprovisasi juga akhirnya. Jangan aku dikata tidak buat kerja sudahlah..

Kenapa wordobe penari sama macam opening? mana baju orang gila penari?
sapa buat wordrobe ni?


Shasha Alkhred, sayangnya kau terkeluar. Sudahlah kau pandai menari. Habislah aku final nanti. Eh, itu macam Gloria je, bukan main piece kontem lagi kau ya..

Artis jemputan minggu ini ialah Rosnah Mat Aris. Kata pengkritik lakonan Rosnah lebih menonjol dan pengkritik kelihatan sangat tidak berpuashati dengan teater minggu ini. Mama, pengakhiran pun macam.... tiba-tiba je...

p/s Harap ada la pkundi masuk, nak Shasha ke final kerana dia pandai menari...