Wednesday, June 1, 2011

TyIcKooUnS : Berat dan Sinikal

Assalamualaikum wbt,

Naskhah ini sebenarnya berat. Aku dipanggil oleh Wan untuk menjadi koreografer kepada teater ini tak membayangkan sesuatu yang sulit sehinggalah aku membaca skripnya. Berulang kali juga aku membacanya walaupun sudah dibaca dengan emosi sewaktu script reading aku masih tak faham. Begitu sukar untuk aku mencapai matlamat naskhah ini. Menurut Wan, karya ini pernah dipentaskan dulu di ASWARA, cuma aku yang tidak berkesempatan untuk menonton. Sedangkan persembahan tari pun terkadang tengok terkadang terlepas, inikan pula teater.

poster TyIcKooUnS

Setelah beberapa kali bertangguh sesi latihan akhirnya aku membuat keputusan untuk terus menghubungi Wan. Wan meminta aku untuk datang ke sesi latihan lakonan. Aku datang berbekalkan iPhone4 aku semata-mata untuk merakam babak beserta lagu-lagu yang yang memerlukan koreografi. Ternyata itulah kepentingan yang sudah biasa aku lakukan. Lagu-lagu yang dimainkan oleh White Purcussion tidak sama seperti di dalam CD yang telah diberi awal kepada aku.

Seperti biasa juga aku sudah dapat mengagak dan dapat membaca fikiran Wan apa yang cuba dibayangkannya. Wan yang dalam keadaan selesema gigih menerangkan kepada aku apa yang dia gambarkan. Aku sekadar menerima dan cuba memproses sendiri apa yang diimpi oleh Wan. Keesokan harinya aku datang ke DBP pada waktu petang untuk sesi latihan tari bersama korus. Kesemuanya adalah pelajar dan graduan dari UiTM Shah Alam. Apa yang mengecewakan aku, ini bukan kali pertama aku menghadapi masalah ketepatan masa di kalangan orang-orang teater. Kalau lewat 30 minit, aku masih boleh terima, kalau lewat sekali, juga aku boleh terima. Setiap hari mereka lambat dan lewat lebih daripada sejam! Guys, u need to change your attitude.

Nilah budak-budak chorus tu.

Walaubagaimanapun mereka mempunyai komitmen dan fokus yang baik. Walaupun mereka bukannya penari, tetapi mereka nampak visi aku sebagai koreografer. Tambahan pula koreografi aku untuk teater biasanya bukannya terlalu teknikal pun dan aku juga gemar membuat komposisi gerak yang beremosi, jadi mudah bagi seorang pelakon menerima gaya gerak aku.

Bersama Wan dan Azhar.

Cabaran lain yang menduga aku adalah kekangan waktu serta limitasi ruang. Memang aku yang koreograf pergerakan-pergerakan korus, tetapi aku juga perlu mengikut arahan yang telah ditetap oleh Wan. Kadangkala korus berubah menjadi penglipurlara, adakalanya mereka juga adalah pelakon, kadang-kadang penari. Perubahan-perubahan ini memerlukan perhatian teliti supaya setiap babak lancar dengan transisi yang kemas.

Antara babak dalam TyIcKooUnS.

Apabila sudah sampai ke hari venue rehearsal. Aku agak tercengang kerana tiada set pentas mahupun apa-apa entiti di atas pentas. Sehingga keesokan harinya aku membantu Wan mengangkat beberapa platform untuk disusun untuk dijadikan set. Wan sebenarnya kelihatan sugul dan mati akal. Aku cuba memberi beberapa cadangan agar kekusutan di benaknya terlerai. Sebenarnya banyak yang Wan impikan tidak terhasil, naun kesederhanaan ini meletakkan karya ini di tahap yang betul. Aku yang juga membantu memberi tajaan wordrobe, tidak ketinggalan menonton pementasan ini hari-hari sebagai tanda sokongan.

Malangnya naskhah yang baik, karya yang bagus, tidak ramai yang datang menonton. Aku cuba sedaya upaya mempromosikannya di kalangan kawan-kawan aku. Ada juga beberapa kawan aku yang datang. Tak kisahlah sama ada mereka datang sebab nak tengok Zahiril Adzim atau nak tonton teater ini. yang penting mereka datang. Cuma yang aku kesalkan di sini adalah, Revolution Stage adalah syarikat graduan teater ASWARA dan diterajui oleh graduan teater ASWARA dan teater ini dimonopoli oleh graduan teater ASWARA, malangnya tiada seorang pun pensyarah teater dari ASWARA yang datang menonton pementasan ini.

Antara barisan pelakon yang menjayakan pementasan ini.

P/S Jangan tanya kenapa kalau teater ASWARA tak ramai yang datang tonton. Kepada pensyarah teater ASWARA, bawa-bawalah bergaul dengan komuniti luar dan keluarlah dari tempurung anda.

No comments:

Post a Comment