Thursday, April 14, 2011

Gelombang Baru

Assalamualaikum wbt,


Bukan mudah untuk aku datang menonton persembahan kesemua hari, tapi ini tidak bermakna aku suka menonton persembahan tersebut, boleh jadi aku sekadar ingin menajamkan lagi mata dan akal aku. Bagi persembahan Gelombang Baru, aku datang tiap malam kerana ingin memberikan sokongan kepada kawan-kawan serta ingin mengasah minda aku.

Dengan menampilkan 10 karya, Gelombang Baru kali ini boleh dikatakan "short 'n' sweet". (Manis ke?) Jika nak dibandingkan dengan Stepping Out (nama lama Gelombang Baru yang juga pernah dinamakan dengan Step Up) yang pernah diadakan pada 6 hingga 8 Disember 2006, sebanyak 16 karya dipentaskan yang dikoreograf oleh para pelajar dan graduan. ini termasuklah sebuah karya site specific.

Buku program Stepping Out oleh Jabatan Tari ASWARA
yang diadakan pada 6-8 Disember 2006

Homemaker karya Gloria Patie, sangat ringkas. Menceritakan tentang rutin suri rumah. Karya male gaze ini berakhir sedikit suntikan feminisma. Tatabahasa gerak karya ini sangat menampakkan identiti koreografernya. Walaubagaimanapun kesempurnaan karya ini terletak kepada penari-penarinya yang tidak dapat disangkal kehebatan teknikalnya. Namun ingin ditegaskan, kehebatan seseorang penari tidak hanya dinilai dari segi teknikal. Walaubagaimanapun keberkesanan koreografi ini hanya dapat dibaca dengan komposisi literalnya.

Homemaker
Gloria Patie

Christine Chew hadir dengan Happened, Happening, Happen dengan menampilkan tujuh penari wanita dengan kesan silhouette menampakkan susuk tubuh seksi wanita. Visual sebegini mengingatkan saya pada Sapta Purnama, tambahan pula Fatin Nabylah menari di dalam karya ini. Tatabahasa gerak serta komposisi karya ini sangat segar untuk ditonton. Kadangkala terlihat imej Joget Gamelan, kekadang juga ternampak elemen tari Cina, terkadang gaya Bali dan Jawa terlihat. Saya hanya terhibur dengan bentuk dan gaya persembahan, namun masih tidak dapat mengaitkannya dengan sinopsis karya ini.

Happened, Happening, Happen
Christine Chew

Menyusul Genuine karya Naim Syahrazad. Seperti biasa, Naim gemar membuat karya tentang hubungan dan perhubungan cuma kali ini tentang hubungan persahabatan antara dua lelaki. Duet antara Yunus Ismail dan Azizi Mansor ini menarik ditonton namun sekali lagi imej ini sangat mirip dengan karya Sharif Zainal Sagkif Shek sewaktu PeTA Ijazah 2010 iaitu Tari... Tari... Terakhir. Ironinya, Naim sendiri merupakan salah seorang daripada penarinya. Apa yang mengujakan di sini adalah kejujuran dan keikhlasan Azizi menari sangat mendominasi persembahan, projeksinya jauh meninggalkan tutor ASWARA selaku pasangan duetnya. Namun Yunus sebenarnya tidak menghampakan. Walaupun pada hari seterusnya Naim sendiri yang menari, kuasa Azizi masih tidak dapat disangkal.

Genuine
Naim Syahrazad

Karya Nadhirah Razid, satu-satunya koreografer tahun 2 Diploma yang bertajuk Question Mark merupakan sebuah karya yang ringkas dan asas. Tanpa ada sinopsis khusus, ianya sekadar komposisi mudah yang tidak matang namun wajar diberi pujian atas usaha serta niat berkaryanya. Ianya bukanlah tahap yang teruk untuk dikritik namun dengan meletakkan karya ini sebaris dengan karya -karya senior, mungkin menampakkan kelemahannya. Seperti dikatakan sebentar tadi ianya tidak memalukan bagi tahap Nadhirah dan wajar diberi pujian.

Question Mark
Nadhirah Razid

Cicak, karya Chai Vivan merupakan koreografi terbaik malam itu. Visual cicak yang cuba disampaikan oleh Vivan sangat mirip dengan hanya di'cicak'kan oleh tiga orang penari sahaja. Namun Vivan yang juga menari di dalam karyanya sangat memahami pergerakan cicak, begitu juga dengan Ng Xinying. Sukar mencari kelemahan kerana idea ringkas ini benar-benar berjaya tanpa perlu membimbangi aspek lain seperti teknikal. Kehadiran video projeksi mempertingkatkan penyampaian content persembahan. Tahniah Vivan!

Cicak
Chai Vivan

Fairul Zahid cuba menampilkan kelainan di dalam Figura, namun eksperimen ini tidak berjaya. Dengan membawa pemuzik dan penyanyi secara langsung, kumpulan ini menenggelamkan projeksi penari. Sekalipun Azizi Mansor, Kishore Kumar dan Fairul sendiri yang menarikan karya ini, kelantangan suara soprano Asmidar Ahmad menutup segala kekuatan mereka. Tambahan pula karya ini seperti hanya menunjuk-nunjuk keanjalan tubuh masing-masing. Setiap daripada mereka solah-olah cuba untuk menunjukkan kehebatan, lantas inilah kelemahan paling ketara.

Figura
Fairul Zahid

Seterusnya karya Denny Donius yang berjudul Possession tampil mencuit hati penonton. Karya yang mempunyai elemen pasca moden ini agak santai dan tidak terlalu teknikal sebaliknya menyelitkan banyak unsur komersil. Langkah bijak ini meletakkan karya ini antara yang teratas pada malam itu. Namun jika ia merupaka satu persembahan yang dinilai, maka bukanlah tahapnya di situ. Sedikit mengecewakan adalah durasinya agak singkat sehinggakan kepuasan hanya menjengah seketika tatkala menonton.

Possession
Denny Donius

Kolaborasi pelajar ijazah tahun 2 mengambil tempat dengan judul 9 or eight. Kolaborasi ini dilihat hanya seperti gabungan kelas komposisi dan disusun semula oleh mereka. Sedikit suntikan drama dan penceritaan yang menampakkan karya ini sedikit bermakna. "It's either you or us" seolah-olah menceritakan kisah kawan yang dipulaukan. Tatabahasa geraknya agak pelbagai kerana ianya datang dari tubuh setiap penari, makanya ia memperlihatkan keselesaan dan keserasian antara gerak dan emosi. Walaubagaimanapun struktur koreografinya sedikit longgar.

9 or eight
Kolaborasi pelajar ijazah tahun 2

Femenino Vs Realidad karya Marulhuda Mawardi sangat matang dan agak serius. Karya-karya Marul sering memperlihatkan diri beliau sendiri. Beliau gemar berfalsafah dalam berkarya. Sekali lagi buat kali ketiga, malam Gelombang Baru seperti parody kepada PeTA Ijazah 2010. karya ini seperti bayangan Kandi, karya A. Aris A. Kadir.

Femenino Vs Realidad
Marulhuda Mawardi

Penutup persembahan adalah sebuah karya komersil Suhaib Daud yang berjudul B.U.T yang memperjudikan isu beauty. Karya ini kelihatan ringkas tetapi complicated. Isu kecantikan merupakan isu yang sangat umum, tetapi garapan yang dibuat sangat teratur dan kemas. Tidak mementingkan teknik serta komposisi yang menarik sebaliknya banyak menekankan tema-tema serta semiotik yang memperjelaskan tujuan pengkaryaan. Sangat bukan binarisme dari segi bilangan penari, jantina, posisi, koreografi, tatabahasa gerak, struktur, bentuk, tatacahaya, busana malahan tatarias. Ia merupakan penutup tirai yang menaikkan kehangatan malam tersebut. Namun seperti karya Denny tadi elemen yang sama ini memang mencuit hati namun tahapnya bukanlah untuk dinilai, walaubagaimanapun sebenarnya ianya bijak dan berjaya.

B.U.T
Suhaib Daud

Secara keseluruhan Gelombang Baru kali ini benar-benar mencapai matlamat dengan menampilkan karya-karya baru oleh koreografer-koreografer baru yang berkaliber. Namun karya-karya yang berjaya mengundang jeritan dan sorakan tidaklah bermakna karya itu berjaya. Dengan mengeksploitasi penari hebat juga bukan ukuran kejayaan sesebuah karya. Jika semua karya malam ini merupakan karya untuk Penilaian Tahun Akhir, masih banyak ruang yang perlu diperbaiki baik untuk tahap Diploma mahupun Ijazah. Setiap koreografer perlu menitikberatkan mesej serta pengisian dan tujuan daripada kemaruk mencari gerak-gerak yang menarik dan kemudiannya ditampal dengan falsafah-falsafah serta drama-drama yang melemaskan. Kelamahan paling ketara setiap koreografer pada malam ini adfalah pemilihan muzik atau lagu yang kebanyakannya tidak serasi atau nampak ditampal serta personaliti dan kemunculan penari dengan busana yang tidak bermakna. Apa yang hendak dipentaskan adalah sebuah "persembahan" bukan koreografi semata-mata.

P/S Aku rasa minda aku makin tumpul dalam menelah koreografi. Bila lagi akan berkarya?

No comments:

Post a Comment