Monday, March 14, 2011

Hikayat Merong Mahawangsa

Assalamualaikum wbt,

VS

Pelbagai pendapat dilontarkan mengenai filem Hikayat Merong Mahawangsa. Sekitar tahun 2008 sewaktu aku dan Fairuz asyik melepak di Red Chair Genting Klang, pernah juga kami mengutarakan kenapa penggiat filem tidak mahu buat cerita berkisar tentang hikayat dan mitos tempatan seperti Merong Mahawangsa, Malim Dewa, Malim Deman, Raja Bersiong, Gul Bakawali, dan banyak lagi. Sehingga terlintas di hati untuk menulis skrip tentang kisah sebegini. Ini semua terdorong selepas menonton banyak filem-filem barat yang memaparkan kisah-kisah epik yang agung, bukankah kita orang Asia lebih estetik dan autentik budayanya? Pasti menarik jika dipertontonkan kepada dunia tentang sejarah agung kepulauan Nusantara.

Mengenangkan aku yang sedari kecil sering didodoikan dengan kisah-kisah Rasulullah SAW oleh arwah ayah aku serta disogokkan dengan buku-buku hikayat dan dongeng Melayu oleh ibu aku, maka aku sangat dekat dengan kisah-kisah seumpama ini. Maka terlintas di hati aku, siapalah yang akan membuat filem tentang Merong Mahawangsa? Mesti menarik, kerana hikayat ini kurang popular di kalangan masyarakat kini tetapi kisahnya agung kerana menceritakan peperangan antara manusia dan burung garuda. Apatah lagi melibatkan kuasa-kuasa besar dunia pada ketika itu.

Ini adalah antara buku yang masih dalam simpanan aku yang aku baca waktu kecil dulu.

Apabila trailer filem Hikayat Merong Mahawangsa keluar tatkala menonton filem Magika. Aku sangat teruja. Namun aku bukanlah orang yang pertama ke panggung pada hari pertama tayangan. Jadi ramai yang menonton, rata-ratanya kurang berpuas hati dengan cerita ini. Aku tetap berdegil dan mahu menontonnya juga. Bertemankan kawan baik @ jahat aku, Sufyan Sheehan yang berangan, kami gagahkan diri ke panggung.

Sejurus keluar selepas menonton, aku puas. Walaupun jauh di sudut hati aku agak kecewa kerana kisah ini tak sama langsung dengan versi yang aku dengar dan yang aku baca sejak kecil, namun sekurang-kurangnya ada juga usaha anak tempatan menghasilkan sebuah karya berkisar tentang hikayat Melayu lama. Jika tidak ada filem ini, mari kita banci, berapa ramai yang tahu siapa itu Merong Mahawangsa? Sepanjang bancian aku, hanya aku seorang sahaja di kalangan kawan-kawan aku yang tahu siapa itu Merong Mahawangsa. Sedih bukan? Setidak-tidaknya, ruang Google search pasti dipenuhi dengan pencarian siapa itu Merong Mahawangsa. Terima kasih KRU.

P/S Puteri Gunung Ledang dan Hang Tuah pun banyak versi, belum dikira kisah Mahsuri lagi. Ye tak Lex?

No comments:

Post a Comment