Tuesday, September 14, 2010

Atlas dalam K.I.V (Keep In View @ Kami Insan Vogue)

Di sini aku lampirkan beberapa keping gambar karya aku yang bertajuk Atlas. Atlas kali ini adalah pementasan semula yang dipersembahkan di dalam K.I.V di The Actors Studio Lot 10. K.I.V adalah satu persembahan tarian yang menampilkan 5 orang koreografer dengan 8 karya tari kontemporari. Atlas kali ini juga ditarikan oleh Yunus Ismail dan tiada perubahan besar yang berlaku di dalam koreografi kali ini, cuma kostumnya sedikit berbeza.



Pentas di The Actors Studio adalah berbentuk Hanamichi yang mana penontonnya berada di depan serta di kiri dan kanan. Ini sebenarnya sedikit mengganggu koreografi aku kerana sebelum ini Atlas dipentaskan di Black Box ASWARA, yang mana level pentas dan penonton adalah sama, bererti tiada pentas. Maka kekhuatiran terhadap pergerakan bola adalah rendah. Jika dibandingkan dengan pentas di TAS, bukan sahaja ketinggian pentas berbeza, malahan ukuran kelebaran serta kepanjangan juga berbeza. Jika dahulu Atlas dipersembahkan atas pentas yang lebarnya lebih panjang, kini koreografinya terpaksa disesuaikan dengan pentas yang panjangnya (dari up stage ke down stage) lebih panjang berbanding kelebarannya (dari left stage ke right stage).



Satu perkara lagi yang perlu aku titik beratkan adalah projeksi. bagaimana aku perlu garapkan nilai presentasi, projeksi penari serta koreografi aku secara sekurang-kurangnya 270 darjah ke depan. Sedangkan aku tidak mahu mengganggu kehendak bentuk serta tujuan koreografi aku. Jadi aku banyak berbincang dengan Yunus bagaimana hendak mengawal dan mengumpul tenaga sekeliling di atas ruang pentas yang terhad namun apabila tenaga dipantulkan semula ianya tidak mencacatkan karya. Aku telah menampal pita pelekat di atas lantai studio mengikut ukuran pentas di TAS, jadi Yunus telah membuat latihan mengikut ruang tersebut agar membiasakan diri dengan limitasi ruang. Namun setelah sampai di TAS, masalah masih juga timbul apabila lantai pentas tidak begitu rata serta pusingan angin dari penghawa dingin sedikit sebanyak mampu menggerakkan bola yang sedang pegun.





Antara masalah lain yang timbul adalah tatacahaya, yang mana ada beberapa seksyen yang memerlukan penari melambung bola serta menangkapnya. Di awal persembahan adalah paling ketara yang mana penari sedang mengawal keseimbangan bola dibelakang badan sambil membuat posisi membongkok. Kemudian bola dibiarkan menggelungsur dari tulang cocyx ke tulang atlas, dan pada waktu itu penari akan terus mendongakkan kepala lantas menyebabkan bola melantun tegak ke atas. Pada waktu inilah penari akan menyambut bola yang sedang jatuh. Moment ini yang diganggu oleh masalah tatacahaya kerana cahaya yang dipancarkan dari atas menyilaukan mata penari sehingga bola ghaib daripada pandangan mata penari akhirnya jatuh ke lantai tanpa sempat disambut. Maka aku mengambil keputusan untuk menggunakan side light agar cahaya tidak terpancar secara terus ke mata penari dan keputusan ini membuahkan hasil.





Namun secara jujur, setelah dua kali Atlas dipentaskan aku akui yang aku lebih gemar Atlas versi di Black Box. Ini mungkin atas beberapa faktor seperti ruang, tatacahaya serta presentasi. Malahan aku akui yang Yunus juga kelihatan terlalu berhati-hati ketika menarikan Atlas buat kali kedua gara-gara "Bumi" yang tidak mahu duduk diam. Walaubagaimanapun aku bangga kerana dapat mempertontonkan Atlas serta karya lain untuk halwa mata kelompok yang lain.



Tajuk : ATLAS
Koreografer : Akmal Ayob
Penari : Yunus Aliallah

No comments:

Post a Comment