Monday, September 13, 2010

Koreografi : Kehendak Peribadi Atau Orang Lain?


Rupanya sedar tak sedar dah hampir setahun aku tak menulis atau kemaskini blog aku. Aku pun bukannya blogger yang aktif, dan aku memang tak rajin menulis, lagi-lagi dalam situasi sekarang yang memerlukan komitmen aku terhadap penulisan ilmiah aku. Sekarang ni baru siap bab 3 dan minggu depan aku perlu present bab 4 pula, yang menariknya aku tak buat satu habuk pun. Namun aku ada bahan, Cuma aku tak tahu nak mulakan bab tersebut dengan cara yang bagaimana. Penulisan ilmiah ini adalah satu perkara yang patut aku beri perhatian serius namun ada lagi 2 perkara penting yang perlu aku beri tumpuan penuh. Masalahnya bukannya aku tak risau, bukannya aku tak bimbang. Sampaikan Hari Raya aku juga dibayangi dengan mimpi-mimpi yang menakutkan, bukan sebab hantu dan syaitan dah terlepas, tapi sebab mimpi-mimpi aku ini mengganggu siang hari aku juga (tapi taklah dahsyat sangat). Aku sering berfikir dan banyak membaca serta menonton bagi mendapatkan penyelesaian masalah ini, namun hasilnya masih kurang memberangsangkan. Sehingga kini belum ada lagi apa-apa yang dapat menyuntik antibodi bagi aku menangani masalah ini. Bunyinya macam masalah besar je. Sebenarnya tak lah besar sangat, tapi apabila ada pihak yang memandang perkara ini sebagai masalah serta tanggungjawab yang besar, maka muncullah masalah. PeTA.. PeTA.. PeTa... Aku dah laluinya 3 tahun lepas, tapi itu sewaktu peringkat Diploma, sekarang Ijazah Sarjana Muda Senitari, yang menariknya ada pengkhususan atau kurungan = (koreografi). Itulah masalah utamanya.

Sebenarnya pada pandangan aku secara peribadi, koreografi ni mudah, kalau aku tak belajar di ASWARA. Yang menjadikan ianya susah adalah atas beberapa sebab. Pertama, apabila kita perlu koreograf dengan tujuan menyampaikan mesej atau cerita tapi bukan dramatari senang cerita, bukan pure dance la.. (tari tulen.. direct translation sangat). Maksudnya karya tersebut ada cerita ataupun ada sesuatu yang hendak disampaikan.. Kedua, apabila koreografi kita perlu dinilai, ataupun digredkan, bukankah itu satu tekanan?.. Ketiga apabila koreografi kita dipentaskan bersama air tangan koreografer-koreografer lain, lebih-lebih lagi dengan mereka yang ternama dan tersohor seantero negara, malahan ada juga yang pernah memenangi beberapa anugerah dalam bidang koreografi (siapa pula kita ini??).. Keempat apabila penilaian koreografi kita dinilai bukan sahaja dari segi karya atau ciri dalamannya yang mencakupi tatabahasa gerak, content, idea, keberkesanan, teknik, elemen luar seperti kostum, tatacahaya, tatarias, projeksi dan sebagainya (banyak lagi sebenarnya), sebaliknya penilaian juga diambil berdasarkan proses penghasilan karya, latarbelakang koreografer, perbedaan koreografi-koreografi terdahulu malahan melihat siapa koreografer itu sendiri secara peribadi, iaitu dari aspek disiplin, komitmen, kehadiran serta sikap atau aku lebih suka guna perkataan effort. Kelima, apabila koreografi yang terhasil hanya dikritik dengan pandangan negatif seperti “tak nampak”, “tak berkesan”, “tak ada apa” dan ini tidak diiringi dengan pandangan atau pendapat atau lebih tepat memberi cadangan atau pilihan yang sewajarnya (koreografer yang perlu fikir semua itu). Yang terakhir sekali (sebenarnya banyak kesulitan, tapi ini yang paling rumit la..), yang paling penting adalah koreografi yang dibuat, mahupun idea yang diberikan mestilah dipersetujui oleh ahli panel, sehinggakan adakalanya apa yang kita hendak lakukan, tidak boleh dilakukan. Jadi kepuasan untuk berkarya itu tiada. Kerana ketaksuban dan keghairahan kita dalam berkarya terbantut kerana kita buat sesuatu yang bukan seperti yang kita kehendaki. Adakah berkarya itu kerana dinilai? Atau berkarya kerana hendak menyampaikan hasrat?? Apa-apa pun seni itu subjektif..

TAK PAHAM TAK PAHAM OTAK KU TAK TERPAHAM...


No comments:

Post a Comment