Friday, September 17, 2010

Masalah : tiada penyelesaian, tidak berkesudahan

Assalamualaikum wbt,

Hari ni aku agak tak keruan, bukan sebab apa pun, tapi masih kerana isu PeTA yang tak pernah selesai. Aku yang terjaga awal pagi tadi sempat melayari internet seketika sekadar mengisi waktu sebelum ke ASWARA. Jam 11 pagi terdapat satu perjumpaan dengan pensyarah bersama koreografer-koreografer. Aku yang berbaju melayu memandu dengan tenang ke ASWARA walaupun hujan kekadang lebat kekadang renyai. Sesampai di sana aku awal beberapa minit, namun perjumpaan tetap diadakan tepat pada waktunya di studio tari tahun 3.

Terus kepada topik utama, asalnya tujuan perjumpaan ini adalah ingin menetapkan kumpulan koreografer mengikut hari persembahan serta menetapkan penari yang menari dalam setiap karya koreografer, namun seperti biasa, perjumpaan atau mesyuarat sebegini sebenarnya tidak pernah mencetus keputusan muktamad serta sebulat suara penyelesaian bagi permasalahan yang diutara. Sudah acapkali perjumpaan diadakan, namun hasilnya sama, ketergantungan persoalan. Masalah yang pihak aku utarakan adalah begitu mudah untuk difahami, aku nak tukar keseluruhan idea bagi koreografi bebas aku, dan tiada jawapan jelas yang mengatakan “BOLEH!” sebaliknya hujah-hujah serta akibat sekiranya berbuat sedemikian.

Masalah kedua aku ialah aku perlukan penari lain iaitu 4 orang penari lelaki kerana penari aku yang sedia ada semuanya adalah wanita dan oleh kerana itu aku mahu mencari penari lain yang mana dalam cadangan aku, aku ingin memanggil Suhaib (terlibat dengan PeTA Sufina), Fariz (penari luar, juga diisukan kerana kemungkinan ada komitmen kerja), Naim (terlibat PeTA Abg Zainal) dan Khairi (juga terlibat PeTA Abg Zainal). Di sini masalah aku tidak diselesaikan. Lihat ya, ini agak menarik. Pensyarah meminta kami menyelesaikan sendiri masalah ini kerana ini juga adalah salah satu daripada proses pembelajaran dan mereka menganggap mereka telah memanjakan kami dan menyuap segalanya ke mulut kami. Jadi apa guna kita adakan perjumpaan sekerap mungkin sekiranya semua masalah perlu diselesaikan sendiri. Bagi aku mudah, aku boleh mengambil tindakan aku sendiri, tapi tujuan perjumpaan adalah kerana mereka semua adalah pembimbing dan tugas pembimbing adalah membimbing. Tapi aku bukan nak pertikai kerja pensyarah mahupun pembimbing, namun dari perspektif aku sebagai pelajar dan juga koreografer apa yang kami perlukan daripada mereka adalah nasihat serta tunjuk ajar. Mudah saja, sekiranya perjumpaan tidak dapat membuahkan keputusan muktamad, yang mana kita sendiri yang perlu selesaikan masalah, adalah lebih baik kita tak perlu ada pembimbing dan tak perlu adakan mesyuarat. Pelajar hanya perlu buat kerja masing-masing dan tunjukkan apa yang perlu. Sudah.

Yang menjadi pelik, keputusan yang telah dibuat sebelum, boleh berubah ketika dalam proses, dan juga masih boleh berubah ketika dalam perjumpaan berikutnya. Satu contoh, asalnya penari yang terlibat PeTA tak boleh terlibat dalam Tapestry, namun sekarang usah kata Tapestry, Jamu pun boleh. Kemudian kita perlu titik beratkan yang pelajar@penari kami akan mengambil peperiksaan akhir sebelum PeTA yang mana kebanyakan mereka mempunyai subjek teori yang banyak. Sedangkan waktu kami tidak pula diambil berat sebegini, waima subjek teori kami lebih banyak berbanding mereka.

Aku tak mahu menyeleweng, isu penari aku menjadi masalah utama sekarang sehingga saat aku menaip dalam blog ini pun masalah aku masih tak selesai. Aku mengambil keputusan berjumpa Khairi, aku beritahu dia apa yang terjadi dan aku ingin mengambil dia menari tapi terpulang pada dia sama ada nak menari dengan aku ataupun tidak kerana dia menari kedua-dua koreografi Abg Zainal. Kalau dia tak mahu, aku ok. Aku juga hubungi Naim, dan dia pun ada pendapat peribadinya. Aku juga cakap terpulang pada dia. Namun sejurus selepas itu aku dapat mesej daripada Fariz yang dia mahu tarik diri kerana komitmen kerja, apa yang mampu aku katakan ialah, OK.

Tanpa perlu melengah masa aku terus meminta nombor Taufik daripada Fitri lantas aku menghantar mesej kepadanya yang aku ingin meminta dia menari dalam koreografi aku. Sejurus beberapa minit dia balas “OK SAJA”. Terus aku lega dan beri jadual aku namun Sabtu ni dia tak boleh datang latihan kerana ada program rumah terbuka. Aku tak boleh menyalahkan dia. Latihan berikut aku adalah pada hari Rabu yang mana hari Selasa sebelum tu adalah hari pratonton. Adakah aku perlu menyerah diri dengan membiarkan diri kehilangan 5% daipada markah PeTA? Lantas timbul pertanyaan rasionalnya 25% markah PeTA datangnya daripada pratonton. Itu isu lain, tak usah diperkatakan di sini.

Berbalik cerita asal, secara tiba-tiba aku teringat pada Kishore, seorang pelajar India tahun 1. Aku bertanya pada pembimbing aku, katanya Kishore ni bagus. Aku pun terus mendapatkan nombor telefonnya daripada Yunus dan terus menghantar pesanan ringkas padanya menyuntingnya menari di dalam koreografi aku. Sehingga saat ini aku masih belum mendapat jawapan. Tidak mahu membuat sebarang spekulasi. Aku perlu berusaha sebelum pratonton, aku akan berjuang bermati-matian, biar tercalar reputasi, biar terlihat dungu, biar tergelar biadap, asal kehendak diri tidak dipandang enteng, asal maruah terjunjung.... Permasalahan tiada penyelesaian namun masih ada harapan... Harapan menyelesaikan permasalahan..

KHAIRI & NAIM
(mereka merupakan penari di dalam karya aku yang berjudul Pedra Blanca si Batu Puteh sewaktu persembahan K.I.V, iaitu persembahan yang dijayakan oleh kami yang membuat latihan industri di The Actors Studio. Aku masih belum membuat post tentang karya ini lagi. Karya ini mendapat banyak pujian, namun aku tidak terlalu bangga padanya sebaliknya hanya mampu tersenyum sinis kerana koreografi inilah yang aku utarakan ideanya sewaktu pembentangan pertama kertas cadangan PeTA, namun idea ini telah ditolak mentah-mentah oleh panel).

TAUFEK HUSIN______________SUHAIB DAUD____________FARIZUAN YAHYA


KISHORE KUMAR

2 comments:

  1. Menarik. Penggunaan bahasa yang indah, tepat lagi sinis yang menyatakan dengan jelas tentang kepahitan sesebuah kebenaran. Pada aku, cara pengajaran yang berbentuk ortodok adalah masalah utama disini...

    ReplyDelete
  2. bukanlah satu fenomena yang baru. kita akan terus bicara tentaang masalah yang sama sampai kapan pun..bolak balik kita juga yang terkena. cuba selagi terdaya akmal, hasilnya luar jangkaan.

    ReplyDelete