Mengimbau kembali minggu pertama dengan teater bertajuk Ali Punya Setan, menggandingkan Rosana dengan Bil Azali sebagai watak utama. Tatkala itulah aku terketap bibir melihat si Rosa ni menari, bukan sahaja tidak pandai menari, tak kenal lagu serta tak pandai mengira tempo. Walaubagaimanapun ramai lagi yang lemah di dalam kelas tari aku, antaranya seperti, Mira Amnas, Kris Cempaka, Leyla Krisya, Raffamie Karama, Fizi Ali dan Yuzwan Yunus. Namun yang menjadikan Rosa lebih teruk adalah kerana dia memegang watak utama dan ianya berlaku pada minggu perkenalan. Walaubagaimanapun mereka yang paling menonjol di dalam kelas tari adalah seperti Ku Hariz, Bil Azali, Livonia, Afiq Meadin dan Lia Natalia, selebihnya sekadar biasa-biasa saja. Segmen pembukaan pada minggu itu juga biasa-biasa saja.
Minggu kedua dengan teater Aku Nak Jadi Popular tidak banyak melibatkan gerak tari, sebaliknya aku lebih menguruskan gerak fizikal mengikut mood lagu. Ini rentetan daripada minggu pertama yang mengecewakan Mama Eirma terutama gerak tari mereka, maka jadilah si Rosa patung cendana sebagai denda atas kelemahannya pada minggu sudah. Minggu kedua ini aku tidak banyak memainkan peranan, aku dibantu oleh Lily kerana minggu ini aku terlalu sibuk dengan Penilaian Tahun Akhir (PeTA). Persembahan pembukaan pun kebanyakannya dikoreograf oleh Lily dengan tema masquerade. Minggu kedua ini membuka mata aku kepada Livonia, Afiq Meadin dan Ku Hariz.
Minggu ketiga menyaksikan persembahan pembukaan yang tidak terlalu menari, sebaliknya mempamerkan emosi serta ekspresi wajah dan bahasa tubuh. Minggu ini mereka kelihatan bagus, mungkin kerana mereka hanya perlu menari 4 kali 8 sahaja ragam tari sebagai finale kepada lagu pembukaan. Namun teater Dan Din Don agak menjengkelkan apabila lagu yang terselit seperti tidak sesuai dengan mood cerita, aku yang hanya mentimun terpaksa koreograf atas kehendak pengarah. Waima aku tidak gemarkannya. Minggu ini Livonia agak mengecewakan aku dan yang paling menonjol adalah Bil Azali, Afiq Meadin dan Shasha Alkhred.
Minggu paling kalut dengan tema hantu mengisi ruang minggu keempat. Minggu yang paling aku benci. Persembahan pembukaan dipanjangkan sehingga hampir 5 minit, yang mana kebiasaannya kurang dari 2 minit. Yang sedihnya lagu pembukaan ini bertempo laju serta groovy, yang merangsang untuk menari dan bergerak, maka aku terdorong untuk mencipta gerakan-gerakan yang agresif yang bersesuaian dengan tema minggu ini lantas ini menyebabkan mereka semua menari dengan sangat teruk!. Malahan aku juga dimarahi!. Namun yang paling menonjol pula pada minggu ini ialah Nur Jannah.
Entah apa pula yang akan menyusul menggertak aku pada minggu seterusnya. Aku harap aku tidak akan berpatah hati dengan mereka. Sekarang tinggal 11 peserta. Siapakah yang bakal menerobos ke pentas akhir? Aku harap, enam orang tersebut adalah mereka yang mampu menari dan menjadi performer yang hebat. Bukan sahaja boleh berlakon dan menari, malah berpenampilan menarik, berpersembahan hebat, beratitud serta berdisiplin.
alaaa.. masih tak sempat nak tengok Pilih kasih di kaca tv.. tolong bawak aku ke studio boleh tak? hheheh
ReplyDelete