Thursday, January 6, 2011

Sekadar Meluah

Assalamualaikum wbt,

Agak lama aku tidak mengemaskini blog aku, ironinya ramai juga yang bertanya tentang itu. Tak sangka pula ramai yang mengikuti blog aku sama ada secara nyata atau dalam diam. Namun kali ini aku minta maaf kerana aku terpaksa menjadikan entri kali ini sebagai medium aku untuk menulis perihal aku.

Kelmarin, tanggal 4 Januari 2011 merupakan hari yang agak mencabar aku. Ia bermula dengan mata kiri aku yang tiba-tiba gatal dan kemerah-merahan pada malam sebelumnya namun setelah aku bangun dari tidur mata aku tak boleh buka dan dipenuhi dengan tahi mata! Oh tidak! Konjunktivitis!!!! Tahun baru ini mengorak langkah dengan suram dan kusam. Semua gara-gara program Pilih Kasih 2. Aku masih belum menulis tentang aktiviti koreografi aku untuk program ini. Usah kata Pilih Kasih, PeTA pun belum berkesempatan aku coretkan.



Sepatutnya aku sudah dapat 50% bayaran aku sebagai koreografer untuk program ini, namun ianya telah dibekukan sementara waktu. Yang dapat aku telahkan adalah kerana “bos” aku mungkin marahkan aku atau mungkin terasa hati dengan aku kerana aku tiada sewaktu full run satu malam sebelum pementasan. Yang menjadikan dia marah sangat adalah kerana budak-budak yang aku ajar tersebut telah menari dengan teruknya (aku betul-betul maksudkannya). Kalau mereka menari dengan teruk, adakah aku sebagai gurunya harus dipersalahkan? Adakah kerana satu jangkawaktu yang aku tiada menyebabkan mereka teruk?

Yang sedihnya ada di kalangan mereka bukan sahaja tidak boleh menari, malahan tidak tahu tempo serta tidak kenal lagu. Bukannya aku berikan koreografi seperti PeTA aku, cuma gerak ke kanan dan ke kiri, malahan lebih mudah berbanding gerakan poco-poco.

Aku bukannya terlalu menghadap sangat bayaran tersebut, tetapi apabila kedengaran bayaran aku “dibekukan” seolah-olah mencemar nama baik aku. Pastinya mengundang pertanyaan kenapa ia berlaku? Adakah aku tidak melaksanakan tanggungjawab aku? Aku hanya mampu menyuapkan, tak mampu aku telankan untuk mereka.

Sedari awal lagi sudah aku khabarkan yang aku perlukan latihan tiga kali seminggu, mengenangkan yang mereka semua bukannya penari. Bayangkan, untuk persembahan pembukaan sahaja setiap minggu mereka perlu menari sekurang-kurangnya madley empat lagu, belum lagi lagu dalam segmen teater yang lazimnya empat ke lima buah lagu. Aku bukan koreografer yang akan membuat gerakan tari yang sama untuk kesemua lagu, jika boleh pun lagu tersebut berlainan tempo, mood dan genre.

Lebih mendukacitakan lagi, latihan aku yang kebiasaannya dua kali seminggu iaitu pada hari Rabu dan Khamis jam 8 malam hingga 12 malam ini seringkali diganggu oleh beberapa krew serta pengurusan busana yang kerap mengambil peserta serta mencuri tumpuan peserta. Malahan CD lagu yang perlu aku koreograf sampai ke tangan aku tepat jam 8 malam hari Rabu tersebut. Bilakah masa untuk aku membuat homework lagu serta skrip tersebut?

Kadangkala kebanyakan orang memandang remeh peranan koreografer. Tahukah kalian bahawasanya peranan koreografer adalah lebih penting dan rumit berbanding seorang pengarah teater? Kerana itulah seorang koreografer mampu menjadi pengarah teater, namun seorang pengarah teater belum tentu mampu menjadi seorang koreografer (bukan sekadar omongan, terdapat beberapa kes yang tidak perlu disebutkan).

Di dalam program ini, orang yang terlibat dalam bidang pengarahan teater adalah seramai empat orang dan bahagian koreografi pula hanya seorang sahaja. Bukan mahu berkira, namun ingin aku undang rangsangan minda. Logikkah? Aku sekadar meluah..


p/s : Semua kata nama khas yang disebutkan bukan nama sebenar, tiada kena mengena dengan yang hidup mahupun yang sudah tiada. Jika terdapat persamaan hanyalah satu kebetulan.

1 comment:

  1. sabar je la Akmal. Pernah melaluinya. Tadi br tgk utk kali pertama musim ni, and i could imagine your STRESS !! dah week 5, tapi nan ado SPARK. SPARK tu datang dari diri peserta, kita bentuk kan aje. Kalau tak terbentuk, tepuk dada tanytya selera.

    ReplyDelete