Tuesday, March 1, 2011

Feseni UM 2011 : Tarian Kreatif

Assalamualaikum wbt,

Aku ke UM hari ini tanpa sebarang harapan, takut-takut terkilan seperti semalam. Hari ini aku pergi dengan Abu dan Fairuz. Masuk je DTC dah mula kumpulan pertama dari kolej pertama. Aku tak mahu komen setiap satu sebaliknya keseluruhan pertandingan.

Kebanyakan kumpulan yang bertanding gemar memilih tarian Borneo, (A'ah Borneo) terutamanya Sarawak sebagai elemen untuk dieksplorsi. Tiada salahnya pun kalau itu menjadi pilihan, sebaliknya apa yang perlu ditekankan adalah matlamat atau pengisian koreografi. Aku ni bukanlah bijak sangat walaupun sudah tamat kursus Ijazah Sarjana Muda Senitari (Koreografi), namun aku lebih gemar melihar karya-karya yang pasti dan jelas dengan tujuannya. Jika tujuan yang aku tekankan makanya tidak sesuailah untuk persembahan kali ini kerana sudah terang lagi bersuluh, semua yang bertanding pastinya ingin mengecap kejayaan. Apa guna bertanding untuk kalah?

Aku juga faham kebanyakan mereka bukannya penari profesional, malahan kurang juga penari amatur. Yang pasti mereka sekadar mewakili kolej untuk bertanding , itu sahaja. Jadi aku ketepikan soal teknikal, walaupun ada orang pernah bertanya aku, tarian tradisional ada teknik ke? Aku hanya mampu melemparkan senyuman.

Jadi jika aku merupakan salah seorang daripada juri, apa yang perlu aku titik beratkan? Persembahan keseluruhan? Koreografi? Kostum? Muzik? Performativiti? Content? Atau nama kolej atau koreografer? Jika ditanya pada aku, secara peribadi aku akan lihat, sejauh mana sinopsis yang diberikan, sampai di dalam penghasilan karya tersebut.

Aku tak mahu sebut satu-persatu kumpulan yang bertanding, cukuplah sekadar memberitahu, kumpulan-kumpulan yang mengetengahkan tarian-tarian borneo, anda perlu tingkatkan lagi usaha anda. Ini bukan kali pertama aku datang menyaksikan pertandingan ini, cukup-cukuplah falsafah yang tidak memberi apa-apa semiotik di dalam karya. Langkah bijak bagi sebuah kumpulan yang membawa eksplorasi gerak Zapin. Kecerdikan ini mengundang kejayaan, namun bagi aku, berjaya dan cerdik kerana lari daripada kebiasaan, namun menurut sinopsis, pengembangannya agak lemah, usahlah disentuh soal teknikal. Seharusnya koreografer mestilah berhati2 dalam memilih bentuk dan tatabahasa gerak yang hendak dikembangkan. Zapin bukan sekadar gerakan fizikal, niat serta tujuan juga amat rapat. Makanya matlamat kumpulan ini hanya sekadar mahu lari daripada biasa, agar nampak unik di mata juri. Maaf, aku kurang gemar.

Sebuah kumpulan bagi aku agak berjaya mencuri tumpuan aku adalah kolej yang mempertaruhkan tradisi mencanting batik. Secara jujur, strukturnya masih lemah, namun setiap frasa sangat jelas menceritakan isi karya tanpa diperlihatkan secara literal. Susuan gerak yang ringkas namun bermakna, busana yang tidak keterlaluan srta muzik yang agak baik. Namun tahap performativiti setiap penari agak berbeza sehinggakan projeksi kumpulan agak kurang mengancam. Mungkin juri juga tidak terperasan dengan kehadiran kumpulan ini. Walaubagaimanapun, mereka wajar mendapat tempat, namun bukan juara.

Secara keseluruhannya kelemahan yang ada dalam setiap kumpulan adalah mentafsirkan idea dan kisah menjadi sebuah karya tari. Tidak kisahlah sama ada komposisi dan tatabahasa gerak itu lemah, namun penyampaian secara keseluruhan agak lemah. Kedua adalah pemilihan lagu, berhentilah daripada menggunakan lagu yang "meletup" kalau karya sekadar suam-suam kuku. Fikirkan koreografi, kemudian, ciptalah lagu. Ketiga, jangan abaikan soal transisi, kerana ini akan menampakkan karya-karya tersebut seperti kolaj, dan yang terakhir janganlah terlalu taksub untuk menayang busana. Ini bukan pertandingan fesyen.

No comments:

Post a Comment