Wednesday, February 16, 2011

Pilih Kasih Minggu ke-11 (Akhir) : Broadway dan Muzikal

Assalamualaikum wbt,

Minggu ini penuh tekanan buat semua, tapi aku rasa akulah yang paling tertekan (agaknya). Kalau dah namanya teater muzikal, semestinya koreografer yang paling berperanan utama, apatah lagi apabila muzikal tersebut nyanyiannya hanya miming sahaja. Semalam aku baru sahaja menerima 3 buah lagu yang dikatakan komposisi baru. Sepanjang latihan yang bermula jam 8 malam di Auditorium P.Ramlee, Wisma Radio RTM Angkasapuri itu sehingga jam 12.40 minit malam itu aku hanya sempat menyiapkan sebuah lagu sahaja iaitu lagu Semester, lagu pembukaan kepada segmen teater. Bukan kerana kelembapan otak mencipta tari, sebaliknya masa banyak diperuntukkan kepada mengajar dan melatih semua ketujuh-tujuh artis untuk menari. namun kepuasan jelas terpancar di wajah semua kerana masing-masing sudah memahami peranan dan sudah menari sebaik mungkin (walaupun ada gerak yang sangat pantas dan mereka masih belum menguasainya).

"Set teater muzikal Inspirasi Kasih"

Hari ini aku dapat lagi lagu yang baru, sedangkan lagu Gali dan Sentap masih belum dikoreograf lagi. Aku datang latihan jam 2 petang di Istana Budaya dan mengharungi masalah ketiadaan tempat latihan pula. Namun aku pergunakan sebaiknya senggang waktu yang ada bagi menyiapkan lagu kedua iaitu Gali yang disusun semula dengan gaya nyanyian yang lebih mengghairahkan (walhal aku rasa bukan ghairah sebaliknya sangat makcik-makcik).

"Gemuknya aku! bila nak diet ni? Susah nak dapat job kalau kimpah zaber ni"

Artistana Istana Budaya harus menerima pujian kerana bertindak profesional dengan menerima sahaja koreografi aku dengan pantas walaupun tak sempat untuk aku polish. Walaupun secara jujur mereka belum menguasai bentuk yang aku gambarkan, namun aku masih berpuas hati dengan perkembangan positif itu. Rasanya Abg Joe kena banyak bagi peluang kepada Artistana bekerja dengan koreografer-koreografer luar yang lain agar badan mereka lebih anjal dengan semua bentuk dan gaya koreografi lain. Walaubagaimanapun komitmen mereka sangat baik. 10 bintang buat Artistana Istana Budaya.

"Nasiblah penari wanita IB tinggi dan besar, taklah nampak aku macam gergasi"

Lagu keempat muncul dengan tempo laju iaitu lagu Orientasi. Jika aku diberi masa lima hari lagi, aku pasti mereka akan buat lebih baik dan semestinya koreografi aku juga akan lebih berkesan (alasan?). Yang pastinya latihan aku hari ini tamat jam 1 pagi. Adakah kerana passion atau keterpaksaan? Lagu pembukaan program pun tak dapat lagi, matilah aku. Aku harap minggu terakhir ini dapat membuktikan peranan koreogafer adalah amat penting di dalam sesebuah pementasan teater muzikal. Diharap penonton-penonton terhibur dengan persembahan teater muzikal Inspirasi Kasih minggu ini.

p/s kasihan Ku Hariz, dia yang paling banyak menari. Beb tak pe, ko memang ada bakat..

No comments:

Post a Comment