Saturday, February 26, 2011

Terima Kasih Cinta

Assalamualaikum wbt,

Terima Kasih Cinta merupakan naskah Nizam Zakaria yang diadaptasi oleh Pat Ibrahim selaku pengarah dan juga koreografer serta Megat Shahrizal sebagai penolong pengarah daripada filem popular iaitu Cinta yang menyulamkan lima kisah cinta ke dalam sebuah ceritera. Pementasan muzikal ini mendapat sentuhan Roslan Aziz yang pernah menerajui Teater Puteri Gunung Ledang dan P.Ramlee the Musical sebagai pengarah muzik serta buah fikiran Raja Maliq sebagai penata seni. Pementasan yang berlangsung di Panggung Sari Istana Budaya ini mengambil ruang bermula 19 Februari sehingga 6 Mac 2011.

Muzikal ini menampilkan 11 pelakon utama serta 21 orang pelakon pembantu merangkap ensemble. Setiap pelakon utama memegang watak yang wujud di dalam filem Cinta manakala ensemble di dalam muzikal ini kelihatan sekadar pemeriah suasana, namun peranan ensemble kelihatan penting di dalam act 1. Mereka umpama penglipurlara yang memperkenalkan pelakon utama serta menjadikan garapan penceritaan awal agak dinamik. Kesepaduan suara ensemble begitu utuh dalam pengucapan dialog serta melagukannya. Namun peranan sebegini semakin kurang setelah masuk ke act 2. Safura yang memegang watak Rubiah, empunya restoran kelihatan begitu yakin dengan awal perkenalan wataknya, lakonannya tidak dapat disangkalkan lagi, sangat optimum. Malahan tidak sama sekali terbayangkan Fatimah Abu Bakar. Pengucapan dialognya jelas serta tulus, terkadang terasa dekat di hati setiap bibit-bibit yang meniti dibibirnya. Emosinya tak putus tatkala menyanyikan dialognya, kerana lagu-lagu yang dinyanyikan benar-benar dimaksudkan. Gandingannya dengan pelakon veteran Latif Ibrahim sebagai Cikgu Elyas yang menghidap penyakit alzheimer kelihatan sangat serasi. Terkadang kelihatan Latif Ibrahim agak semput, namun nyanyiannya begitu meyakinkan dan sangat kuat unsur muzikalnya. Kedua-dua watak ini sebenarnya tidak menonjol, namun gandingan mereka menjadikan kisah cinta mereka amat menarik. Diddy Hirdy pula datang sebagai Amin, cucu kepada Cikgu Elyas, masih banyak yang perlu diperbaiki dari segi mutu lakonan, nyanyiannya pula tidaklah begitu hebat, sebaliknya baik-baik sahaja, mujurlah ton lelakinya begitu kuat, maka terpadam sudah kelemahan yang lain.

Nadia Aqilah sebagai Ariana merupakan gadis dari Johor Bharu yang mencari teman lelakinya Khalif, namun bertemu dengan Vince Chong sebagai Taufiq di Kuala Lumpur. Nadia kelihatan sangat manja namun tidak kebudak-budakan tetapi masih matang sebagai Ariana, manakala Vince mengambil watak nerd kelihatan seperti terlalu dibuat-buat. Vince menampakkan ketidakserasian antara watak tersebut dengan karektornya. Tidak dinafikan terlihat usahanya yang bersungguh membawa watak itu namun kesannya tidak begitu terasa. Gandingan mereka berdua belum menampakkan persefahaman lagi. Nadia banyak mengambil nyanyian-nyanyian sebagai penerus penceritaan emosinya serta kelihatan begitu bersahaja dan sangat ikhlas dalam penyampaian lagu, projeksinya juga bagus apatah lagi langkah tarinya begitu meyakinkan, namun terkadang kelihatan Nadia terlalu banyak bergerak tatkala mengucapkan dialog. Tidak pasti sama ada pengarahannya sebegitu atau improvisasi sahaja, namun ia agak merimaskan. Vince yang menyimpan nyanyiannya untuk act 2 benar-benar menempelak tenaga ke penonton. Lagu Sekian Lama itu dinyanyikan penuh emosi dan benar-benar dimaknakan. Nyanyiannya adalah yang terbaik sepanjang pementasan malam itu, malangnya tatkala menyanyi wataknya berubah daripada nerd kepada penyanyi yang teknikal.

Cinta Airin lakonan Norish Karman dan Haris oleh Tony Eusoff dilihat seperti konflik tipikal rumah tangga. Lakonan mereka seperti bukan suami isteri, kelihatan seperti tiada apa-apa namun yang mengikat mereka hanyalah kanak-kanak yang menjadi anak mereka. Mereka seperti tidak serasi, mungkin kerana kisah mereka merupakan hujan di tengahari, namun “cinta” itu lebih wujud di antara anak mereka dengan setiap daripada mereka. Norish mempunyai masalah di dalam pengucapan dialognya. Setiap tutur katanya seringkali kedengaran angin kerana tabiat tutur dialognya yang acapkali berbisik. Sehinggakan jurang paras kelantangan vokal setiap pelakon adalah jauh. Tidak semua kata-kata perlu dibisikkan walaupun tatkala beremosi sedih, waima memakai mikrofon sekalipun. Jika dinamakan teater, maka lontaran vokal merupakan elemen penting dalam mendukung sebuah pementasan teater. Tony pula kadang kala kurang jelas artikulasinya, mungkin kerana beliau khusyuk menari sehinggakan semput berdialog, namun pujian wajar diberikan pada nyanyiannya yang sangat muzikal serta lantang. Emosi nyanyiannya juga seiring dengan penceritaan walaupun secara tiba-tiba lagu Sejati mengambil tempat dengan susunan muzik baru. Namun dalam kisah cinta antara Airin dan Haris yang benar-benar merenggut hati penonton adalah peranan anaknya, Melly.

Shajiry Damery sebagai Azlan yang cuba memikat Azura, lakonan Farahdhiya agak tidak secocok. Masing-masing kelihatan berusaha keras menjadikan watak masing-masing menarik dengan mengenepikan kerjasama jalinan hubungan watak mereka. Memang mereka kelihatan menonjol, namun sebagai individu, tetapi bukan sebagai pasangan. Shajiry di dalam lakonannya menampakkan kerja keras, seperti cuba meraih perhatian penonton, namun ianya tidak kelihatan tatkala dia digandingkan dengan Tony dan Deja. Mungkin paras tenaga serta projeksi yang dilontarkan oleh Farahdhiya tidak seimbang dengannya makanya terlihat watak Azlan kelihatan muda dan tak matang. Langkah tari Shajiry agak baik dan masih boleh diperbaiki, begitu juga dengan nyanyiannya, namun yang menarik, sut merah jambu memang cocok dengannya, menampakkan Shajiry kelihatan hebat di pentas. Farahdhiya pula perlu lebih memahami wataknya sebagai Azura, kerana sedari awal lagi penonton agak keliru sama ada Azura cintakan Azlan ataupun tidak, tiba-tiba bersedih dengan lagu Janji Manismu. Nyanyiannya juga sangat mempesona, namun lontaran vokal nyanyiannya pergi lebih jauh berbanding lontaran dialognya. Jika nyanyiannya oleh Azura, bukan Farahdhiya, pasti lebih menerkam jiwa

.

Hubungan kasih sayang antara kakak dan adik lakonan Deja Moss sebagai Dyan dan Anding Indrawani sebagai Dhani antara kisah yang meruntun jiwa. Pemahaman hubungan itu benar-benar wujud antara mereka. Kisah mereka berdua adalah puncak segala cinta iaitu pengorbanan. Pertengkaran serta pergaduhan adik beradik memanglah normal namun disebalik pertelingkahan dan bertegangan urat itu masih wujud cinta dan kasih sayang antara keduanya. Babak inilah yang paling berkesan di dalam keseluruhan teater ini, namun satu bahagian yang agak lemah di sini adalah skrip sewaktu pertelingkahan itu agak kekok bunyinya seperti tiada kena-mengena dan agak hentam kromo. Anding sebenarnya tidaklah baik lakonannya, namun watak itu memang serasi dengannya, tambahan pula Anding memanag sangat bijak menari maka tertutup sedikit kelamahan itu, nyanyiannya juga agak baik, namun setiap permulaan nyanyiannya masih lagi tercari-cari not pertama. Lakonan Deja pula baik juga, tetapi intonasi kadang-kadang tidak tepat. Perkataan yang tidak patut ditekankan seringkali diberi penegasan. Nyanyiannya pula sangat teknikal, begitu menarik jika dibuat konsert, sayangnya ini merupakan pementasan teater, nyanyiannya kedengaran sangat tidak serasi dengan pengucapan dialognya. Tatkala babak sedih sewaktu Dyan hendak mendermakan buah pinggangnya, tiba-tiba Deja menyanyikan lagu Berkorban Apa Saja dengan gaya dan emosi yang agak bersemangat, maka terputus sudah emosi sedih itu

Keseluruhannya terdapat tiga perkara yang menarik minat saya di dalam pementasan ini, pertama kod warna kostum. Act 1 menampilkan latar putih bagi ensemble dan hitam bagi act 2. Peranan hitam putih oleh ensemble ini dilihat seperti gambaran hitam putih kehidupan manusia, tambahan pula mereka juga menjadi penyokong cerita serta penglipurlara. Sesekali terlihat seperti bayang-bayang wayang kulit yang mendokong cerita-cerita wayang. Kod-kod warna ini juga menggunakan teori semiotik lantaran wujud interpretasi bagi setiap kisah percintaan ini. Hubungan Arianna dan Taufiq bertemakan hijau sangat subur seperti mekarnya pepohonan rimbun. Sangat suci dan tulus, walau terpalit dosa, namun kerana cinta, sucilah segala sengketa. Oren melatari cinta Airin dan Haris, warna panas ini menghangatkan konflik rumahtangga mereka, ironinya selepas berpisah, Haris menutup kemeja orennya dengan sut hitam sekaligus menjadi penanda penamat hubungan. Azlan dan Azura diwarnai dengan merah jambu yang agak gatal dan manja, atau mungkin buaya darat. Kuning ibarat cahaya matahari yang memberi sinar harapan kepada kehidupan baru buat Dhani setelah menerima buah pinggang daripada Dyan. Manakala biru melambangkan perpaduan, kesatuan tanpa batas usia, biru juga warna senja yang sejuk tanda kebahagiaan di hujung hayat.

Kedua, set yang sangat praktikal. Ketepikanlah kemampuan Panggung Sari buat seketika. Tiga kiub besar yang membentuk enam kubus dua tingkat ibarat televisyen yang memaparkan kisah masyarakat. Diserikan dengan lampu kalimantang putih, sangat mengujakan walaupun gerakannya hanya ke hadapan dan ke belakang sahaja. Setiap blok berperanan dan digunapakai sepenuhnya, walaupun segmen menari kadang kala menguji keutuhan binaan itu.

Yang terakhir ialah keseimbangan serta kesepaduan vokal berkumpulan di dalam nyanyian. Jika ditanya apa yang paling istimewa di dalam teater ini, saya akan katakan bahawa vokal ensemble merupakan kekuatan teater ini, walaupun selalunya peranan ensemble sering di perlekehkan, namun tiada ensemble maka tidak bermaknalah sesebuah pementasan teater muzikal. Setiap nyanyian yang melibatkan korus, sebulat suara, seimbang, harmoni serta tebal bentuk nyanyian yang dilontarkan. Yang menariknya, sekalipun dalam tari dengan koreografi Pat yang seringkali complicated, mereka masih menyanyi dengan harmoni. Tahniah buat semua tenaga kerja Terima Kasih Cinta.

2 comments:

  1. Very good review with clear description, interpretation, enough contextual information and there are evaluation. Walaupun ada typo (HAHAHAHAHHAHAHAH) it's a very good review. i Loike.

    ReplyDelete