Friday, February 11, 2011

Pilih Kasih Minggu ke-10 : Maulidur Rasul

Assalamualaikum wbt,

Salam Maulidurrasul buat semua umat Islam yang menghayatinya. Mungkin ada juga yang tidak tahu bahawa tanggal 15 Februari ini adalah hari Maulud Nabi kerana masing-masing sibuk menghitung tarikh 14 Februari. Alangkah indahnya menyambut hari kekasih, namun bagaimana pula dengan kekasih Allah? Dek kerana kesedaran inilah minggu ini perjuangan anak seni diteruskan dengan semangat keIslaman.

Setelah hampir satu jam aku duduk berbincang dengan Erma Fatima di rumahnya, banyak ketidakbiasaan akan dilakukan pada minggu ini, bukan kelainan apa, cuma keseriusan dalam tema kali ini dititik beratkan. Memandangkan teater minggu sudah seakan diperlekehkan oleh pengkritik. Maka kali ini kami harus mencabar para artis ini untuk membawa kisah berat di dalam teater bertajuk Rebahnya Seorang Abid. Selama ini pun bukannya tidak mahu diberikan naskhah serius kepada mereka, cumanya kerisauan pengarah terhadap kredibiliti para artis dalam menggalas tanggungjawab dipundak sebagai medium cerita. Mungkin seorang dua ada yang mampu, namun bagaimana pula dengan yang lain? setiap orang harus rata dalam memikul amanah ini.

Minggu ini mengingatkan aku kepada pengalaman aku bekerja sebagai koreografer di dalam Teater Muzikal Sirah Junjungan sekitar tahun 2008 dan 2009. Dalam menghasilkan "tarian" dalam konteks Islam ataupun pergerakan menurut batas-batas Islam sebenarnya tidaklah mudah, namun tidak pula sukar. Apatah lagi program swasta ini mendapat kerjasama dengan RTM yang sepenuhnya dibawah kelolaan kerajaan, makanya aku harus menepati garis panduan yang telah diberikan. Dahulunya di Istana Budaya, pihak Jakim datang menonton Sirah Junjungan sebelum pratonton sebagai lembaga penapisan.

Kali ini di dalam persembahan pembukaaan lagunya sahaja mencecah 9 minit. Dengan bertemakan Sirah Junjungan, monolog artis menceritakan rentetan peristiwa kelahiran Rasulullah SAW sehinggalah wafatnya baginda. Persembahan diiringi dengan enam orang penari dari Pewara Dance Theatre ini menggarap konsep pentomen dengan elemen drama. Sedikit sebanyak menyuntik keinsafan dan mencetus ingatan pada rasul junjungan. Gerakan-gerakan tari seperti melambangkan kelahiran serta kasih sayang sekadar simbolik dan begitu juga dengan himpunan lagu-lagu Shalawat serta tari Sufi sebagai pelengkap. Namun persembahan pembukaan ini hanya sebuah persembahan seni yang tidak jelas genrenya namun tepat pengisiannya.

Di dalam teater, koreografi lebih tertumpu kepada pergerakan para syaitan dan iblis. Yang susahnya gerakan sebegini adalah bentuknya lebih menjurus kepada improvisasi tubuh pelakon. Aku tidak mampu menetapkan gaya dan bentuk pergerakan ini, namun ianya menjadi mudah apabila penari yang melakukannya. Lia dan Mira agak tidak pasti dan tidak tahu bagaimana hendak bermain dengan emosi, ruang, paras, gestur dan olah tubuh. Minggu ini kak Erma seolah begitu tertekan sehinggakan aku menjadi mangsa amarahnya. Katanya koreografi paling teruk minggu ini, aku dikatanya mengelat dan tidak buat kerja. Mungkin juga ketiadaan penari menyebabkan kurangnya kesan terhadap watak iblis. Makanya begitu pentinglah peranan penari di dalam sesebuah pementasan teater atau muzikal.

Aku juga sedikit tertekan dengan tekanan yang diberikan sehingga minggu inilah minggu pertama aku datang menonton secara langsung. opss....


1 comment:

  1. But i think the sirah junjungan week was simply one of the best week (in term of performance)..
    And your choreo was very interesting just as you choreo the musical in IB..good job my fren

    ReplyDelete